Cakoi, Pau Goreng Mini Memang 'Power'


Salah satu kawasan yang menjadi tumpuan wargakota terutama yang tinggal di sekitar Pandan sepanjang bulan puasa ialah di Bazar Ramadan Pandan Indah kerana selain terkenal sebagai kawasan yang sesak pada suatu ketika dulu, kawasan ini juga menjadi tumpuan umat Islam untuk memilih pelbagai jenis makanan untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Sebutlah apa sahaja yang hendak dimakan, kalau anda tidak mempunyai masa untuk membuatnya, belilah sahaja di sini.

Antara makanan yang agak terkenal di sini ialah kuih cakoi dan pau kacang merah goreng yang diusahakan brader Dwan2. Kelazatannya boleh membuatkan anda dapat melupakan seketika masalah yang ada.

Menariknya, ia dijual secara mini. Tidak terlalu besar tetapi puas makan pada harga yang sangat berpatutan. Kalau mahu membelinya, anda patut datang awal kerana barisannya sentiasa panjang. Maklumlah, sudah terkenal kerana brader ini sudah bertahun bertapak di Bazar Ramadan yang sama bertahun-tahun lamanya.

Lebih membanggakan ialah kalau dahulunya kuih ini hanya dimakan oleh masyarakat Cina, namun kini ia juga menjadi pilihan rakyat daripada pelbagai keturunan. Resipinya telah disesuaikan dengan selera Malaysia agar ia dapat diterima oleh semua golongan. Beliau akan menyediakan semua bahan, daripada membancuh hinggalah menggoreng kuih ini secara sendiri dan rasanya memang enak.

Manakala pau goreng mininya pula dengan tawaran inti kacang merah boleh dikatakan 'Legend'. Sebiji saja pasti pemakannya terasa puas.

Tetapi yang berbeza mengenai pau kali ini ialah bentuknya yang jelas garing dan mengembang pada saiz mini. Pau sememangnya kuih Malaysia yang sesuai dimakan pada bila-bila masa, sama ada sebagai kudapan ataupun hidangan berat kerana ia turut mengenyangkan.

Dapatlah disimpulkan pau yang sedap bukan hanya bergantung pada intinya tetapi juga adunan tepung dohnya. Walaupun sekadar tepung dan marjerin, jumlah majerin mesti tepat dan berpatutan. Sekiranya kurang ia akan terasa tawar, berlebihan pula membuatkan kita muak.

Pau peniaga Bazar Ramadan Pandan Indah yang sedap ini juga ringan dan tidak berat setelah digoreng.

Brader sama juga memang cekap mengambil pesanan. Walaupun barisan panjang melimpah sehingga menutup gerai-gerai yang ada bersebelahan, beliau masih boleh menghafal semua pelanggan dan pesanan masing-masing dan ia dilakukan tanpa bantuan pembantunya.

Harganya pun boleh tahan, 5 cakoi mini berharga RM1 saja manakala 3 pau goreng juga berharga sama. Tapi rasanya, memang power!