Oleh: Uthaya Sankar SB
26 OGOS – Hidup kami sungguh selesa sekarang. Segala penderitaan emak sudah berakhir. Perjuangan emak untuk membesarkan kami sudah membuahkan hasil yang menakjubkan.
Kavitha Akka memang patut dipuji kerana usahanya meneruskan perjuangan emak sehingga keluarga kami mencapai mobiliti sosial dan mobiliti ekonomi. Suaminya, Krishnan Mama juga wajar dipuji kerana dia menggalakkan Kavitha Akka terus berusaha membaiki taraf hidup.
Perkara utama yang dilakukan oleh Kavitha Akka sebelum berkahwin adalah membeli sebuah rumah untuk kami. Apabila keluarga Krishnan Mama masuk meminang, Kavitha Akka meletakkan syarat bahawa dia akan terus menanggung keluarga kami walaupun selepas berkahwin.
“Bagus! Wanita seperti inilah yang saya harapkan untuk menjadi pasangan saya,” kata Krishnan Mama yang datang bersama-sama keluarganya untuk meminang. “Adalah salah untuk melupakan terus tanggungjawab pada keluarga selepas berkahwin.”
Kogila Akka juga sudah berkahwin. Suaminya, Ganesh, seorang juru terbang. Nasib baik Ganesh Mama juga seorang yang sangat understanding seperti Krishnan Mama. Mereka sangat berbeza berbanding kebanyakan lelaki kaum India yang tipikal.
“Adalah sangat tidak adil jika golongan lelaki cuba memisahkan anak-anak daripada seorang ibu,” kata Ganesh Mama. “Sebagaimana saya mahu terus rapat dengan emak saya, begitulah juga hak dan keinginan isteri saya.”
Kami semua sedang duduk berbual-bual di ruang tamu selepas makan tengah hari. Kavitha Akka, Krishnan Mama, Kogila Akka dan Ganesh Mama datang untuk meluangkan cuti hari Sabtu ketiga bersama-sama kami.
“Memang saya sangat bertuah kerana mendapat menantu yang begitu baik hati,” emak meluahkan rasa syukur. “Saya tidak pernah rasa menyesal kerana tidak ada anak lelaki. Tetapi saya sangat gembira kerana mendapat dua menantu yang menyayangi saya seperti orang tuanya sendiri.”
“Jangan buat keputusan muktamad lagi, attei,” Krishnan Mama mencelah.
“Eh! Kenapa pula?” tanya saya dengan hairan. “Adakah mama fikir keadaan yang ada sekarang akan berubah?”
“Tidaklah,” jawab Ganesh Mama mula. “Maksud kami, janganlah buat keputusan bahawa attei ada dua sahaja menantu yang menyayangi. …”
“Jangan lupa bahawa Kannama juga akan berkahwin tidak lama lagi,” sambung Krishnan Mama. “Kita mesti cari pasangan yang boleh clique dengan kami berdua iaitu menantu mithali.”
Emak ketawa riang mendengarnya. – Bersambung minggu depan
* Uthaya Sankar SB baru sahaja menerbitkan novel “Panchayat: Edisi Khas”.


