Chellam – Bahagian 18

Oleh Uthaya Sankar SB
2 SEPT — Kavitha Akka, Kogila Akka, Krishnan Mama, Ganesh Mama dan saya turut ketawa mendengar kata-kata itu. Kannama Akka pula tersipu-sipu kerana malu.

“Dan jangan lupa mengenai Karpagam,” tambah Ganesh Mama.

Saya terus terdiam mendengar kata-kata itu. Ketawa mereka yang lain pula semakin kuat. Kannama Akka turut ketawa sekarang.

Tiba-tiba saya merasakan kesakitan pada kepala. Terasa kepala saya berdenyut-denyut. Bagaikan ada jarum mencucuk otak saya berulang kali. Memang sejak hampir seminggu lalu, saya selalu mengalami sakit seperti ini.

“Tengok tu. Karpagam sudah terlalu malu sampai mukanya jadi pucat,” kedengaran suara Krishnan Mama.

“Biasanya kalau orang rasa malu, mereka tutup muka. Tapi Karpagam pula pegang kepala,” tambah Ganesh Mama.

Saya pula terus memegang kepala dengan erat kerana terasa seperti berpuluh-puluh jarum terus mencucuk bahagian otak saya. Saya terus memejamkan mata dan terduduk atas sofa.

Suara ketawa tidak kedengaran lagi. Emak memegang bahu saya. Semua orang menghampiri saya dengan cemas.

“Kenapa, Karpagam?”

“Tak ada apa-apa, mak,” kata saya sambil membuka mata kerana jarum-jarum itu sudah berhenti mencucuk. “Saya terasa pening sahaja.”

“Awak tak apa-apa?” Emak masih cemas.

“Janganlah risau, mak. Saya tak apa-apa.”

Saya terus berdiri untuk membuktikan kepada emak bahawa memang saya sihat. Saya lalu menghampiri Krishnan Mama yang juga sedang berdiri di sebelah Ganesh Mama.

“Saya tak apa. Saya saja nak takutkan mama berdua ni yang sangat nakal!”

Saya segera memulas telinga kanan Krishnan Mama dengan tangan kiri dan telinga kiri Ganesh mama dengan tangan kanan.

“Adoi! Adoi! Tolonglah kami,” jerit mereka berdua secara berjenaka.

Emak, Kavitha Akka, Kogila Akka dan Kannama Akka tertawa melihat telatah kami bertiga. Krishnan Mama dan Ganesh Mama juga mula ketawa selepas berjaya menyelamatkan diri daripada saya.

Saya berdoa supaya kebahagiaan yang kami kecapi kini kekal selama-lamanya. Semoga lelaki yang bakal menjadi suami kepada Kannama Akka juga memiliki sifat-sifat terpuji seperti kedua-dua abang ipar saya.

Bagaimana pula dengan bakal suami saya? Siapakah pemuda itu? – Bersambung minggu depan

*Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah yang diceritakan kepadanya. Nama semua watak diubah atas tujuan keselamatan.

 

 

 

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.