Chellam — Bahagian 19

Oleh: Uthaya Sankar SB

9 SEPTEMBER — Chellam termenung mengenangkan kisah hidupnya sejak remaja. Dia terkenang akan bagaimana dia jatuh cinta dengan Selvam dan kemudian mereka kahwin lari. Sejak itu, hidupnya sentiada dalam kesusahan.

Namun, Chellam berasa bangga dan bersyukur kerana berjaya mendidik keempat-empat anaknya menjadi manusia yang berguna. Mereka kini sudah dewasa dan menjadi kebanggaan bagi Chellam.

Wanita itu turut bersyukur kerana mendapat menantu yang sangat baik. Krishnan dan Ganesh merupakan pemuda yang sangat bertanggungjawab. Mereka tidak pernah cuba memisahkan keluarga selepas berkahwin. Sebaliknya, kehadiran mereka membuatkan keluarga Chellam lebih gembira dan lebih bersatu.

Sikap ini sangat berbeza berbanding sikap dan pandangan Selvam. Lelaki itu seorang yang tidak bertanggungjawab. Memanglah malu untuk menyatakannya, tetapi Selvam tidak pernah memainkan peranan sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab.

“Anak-anak perempuan hanyalah bebanan. Kehadiran mereka hanya akan membawa malu pada keluarga,” kata Selvam suatu masa dahulu.

“Awak dulu kahwin lari dengan saya. Tentu anak-anak yang awak lahirkan akan buat hal yang sama. Atau pun, mereka akan mengandung dan kekasih mereka akan lari meninggalkan mereka.”

Begitulah antara kata-kata hinaan Selvam terhadap Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam sejak mereka masih kanak-kanak. Mereka memang sedih dan marah mendengar kata-kata hinaan seperti itu. Namun, apakan daya mereka.

Kini, keempat-empat anak itu sudah membuktikan bahawa kata-kata Selvam adalah tidak benar. Mereka adalah anak yang baik. Mereka tidak pernah mencemarkan nama keluarga. Sebaliknya, mereka berjaya menaikkan imej keluarga dalam masyarakat.

“Keluarga itu? Saya tahu bahawa mereka pada asalnya keluarga miskin yang tinggal di kawasan setinggan,” kata seorang lelaki tua yang menjual kacang putih di luar Puduraya kepada Ganesh sebelum dia berkahwin dengan Kogila.

“Tapi wanita itu telah berusaha gigih untuk mengubah hidup mereka. Kini mereka menjadi antara ahli masyarakat kaum India yang dihormati ramai. Tapi saya tahu bahawa suaminya seorang kaki botol dan penagih dadah,” katanya lagi.

“Saya pun dulu penagih dadah juga. Saya pernah kenal Selvam. Tapi saya telah dihantar ke pusat pemulihan. Tengoklah saya sekarang. Saya sudah mula berniaga secara kecil-kecilan. Saya sudah berjaya mengubah nasib diri saya,” penjual kacang putih itu menceritakan.

Beberapa bulan lalu, Ganesh menceritakan pertemuannya dengan penjual kacang putih itu kepada Kogila. Kemudian, apabila mereka berkumpul seisi keluarga pada suatu hari Sabtu, mereka membincangkannya. Mereka bercakap mengenai bagaimana pusat pemulihan dadah berjaya mengubah hidup lelaki itu.

“Saya setuju dengan cadangan Ganesh,” kata Krishnan.

“Kita mesti lakukan sesuatu untuk menyelamatkan bapa mentua kita. Kita wajar menghantarnya ke pusat pemulihan.”

BERSAMBUNG MINGGU DEPAN

* Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan pelbagai acara bahasa, sastera, seni dan budaya sejak 1999.

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.