Chellam – Bahagian 20

Oleh Uthaya Sankar SB

16 SEPTEMBER — Chellam terdiam. Dulu pun dia ada memikirkan cadangan yang sama tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Tambahan pula, dia telah mengharapkan agar suaminya bertaubat dan meninggalkan tabiat minum arak dan menagih dadah.

“Saya juga setuju,” tambah Kannama.

“Sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab, kita mesti melakukan sesuatu. Kalau bukan kita, siapa lagi?”

“Betul. Belum terlewat untuk kita ambil langkah yang betul. Kalau tidak, apa guna kita bergelar generasi muda yang berpendidikan?

“Walaupun dia adalah bapa kita, kita harus berani menghantarnya ke pusat pemulihan. Jangan anggap tindakan itu sebagai memalukan keluarga,” Karpagam mencelah.

Setelah berbincang, mereka semua membuat keputusan untuk menghantar Selvam ke pusat pemulihan. Tentu sahaja lelaki tua itu memberontak dan memaki-hamun mereka apabila mendapat tahu apa rancangan mereka. Tambahan pula, dia mabuk pada waktu itu.

Tanpa mempedulikan kata-kata ancaman daripada Selvam, mereka semua melaporkan kes lelaki itu ke pusat pemulihan. Krishnan dan Ganesh menghubungi pihak berkuasa untuk menguruskan penghantaran Selvam ke pusat pemulihan.

Empat bulan sudah berlalu.

Chellam sering termenung memikirkan pengalaman silam. Kadang-kadang, dia menyalahkan dirinya kerana tidak menghantar Selvam ke pusat pemulihan sejak dahulu.

“Emak jangan rasa bersalah. Emak tak bersalah dalam hal ini. Kami pasti bahawa emak hanya melakukan yang terbaik,” pujuk Kavitha.

“Emak telah memberi keutamaan pada usaha menjadikan kami sebagai anak-anak yang berjaya dalam hidup. Itu adalah suatu tugas dan tanggungjawab yang sangat berat,” katanya lagi.

“Janganlah emak bersedih,” sampuk Kogila.

“Sama-sama kita harapkan supaya bapa segera pulih. Kita harap dia akan menyedari segala kesilapannya. Kita semua akan mulakan hidup baru.”

Mereka semua sedang duduk berbual di ruang tamu. Karpagam pula tiba-tiba berdiri dan memandang tajam ke arah Kogila.

“Bagaimana kita boleh mulakan hidup baru? Bukankah orang yang kita gelar sebagai ‘bapa’ tidak pernah menunaikan tanggungjawabnya?” Karpagam berkata dengan tegas.

“Saya telah bersetuju menghantarnya ke pusat pemulihan untuk memulihkannya daripada terus menjadi penagih dadah. Tapi saya rasa sudah terlewat untuk dia kembali kepada kita.

“Sudah terlewat untuk dia memulakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang suami dan seorang bapa.”

Chellam, Kavitha, Krishnan, Kogila, Ganesh dan Kannama tersentak mendengar kata-kata Karpagam.

“Apa yang awak cakap ni?” tanya Chellam.

“Bapa mungkin pulih. Tapi bagaimana dengan segala kesan buruk yang terhasil sepanjang dia menjadi penagih dadah dan peminum arak? Adakah kesan hitam itu boleh dipadam dan dilupakan?”

Mereka semua terkejut mendengar kata-kata Karpagam. – Bersambung minggu depan

* Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa. Beliau juga menulis di www.uthayasb.blogspot.com

Loading...

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.