PUTRAJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa
Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar tidak boleh menggunakan
saluran undang-undang untuk mempertikai isu berkaitan dana khas kawasan pilihan
bagi kawasan Parlimennya.
Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif
membuat keputusan itu sebulat suara selepas berpendapat pengagihan dana itu
adalah di bawah prerogatif pengurusan dan pertimbangan dasar, yang sememangnya
di luar bidang kuasa mahkamah.
Md Raus berkata sehubungan itu, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk
menilai kelayakan permohonan Jeyakumar berkaitan isu dana khas tersebut atau
memutuskan dasar yang dibuat oleh eksekutif.
Beliau berkata dasar kerajaan dibuat selepas mempertimbang beberapa faktor
teknikal yang bukan bersifat undang-undang, dan hakim tidak memiliki maklumat
atau kepakaran yang sesuai untuk menilai faktor terbabit serta memutuskan
kewajaran dasar tersebut.
"Mahkamah perlu berhati-hati untuk campur tangan dalam hal yang berkaitan
dengan dasar kerana ia merupakan perkara eksklusif dalam domain eksekutif.
-- LAGI
MAHKAMAH-SUNGAI SIPUT 2 PUTRAJAYA
"Campur tangan atau pelanggaran yang tidak wajar oleh badan kehakiman ke
dalam bidang kuasa eksekutif dan sebaliknya akan membawa keburukan kepada sistem
kerajaan kita yang berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa antara tiga
komponen iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman," katanya.
Md Raus juga berkata isu itu tidak boleh dipertahankan dari segi
undang-undang dan semakan kehakiman berhubung perkara tersebut tidak boleh
dilakukan.
Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad
Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Suriyadi
Halim Omar serta Datuk Ahmad Maarof.
"Kami tidak nampak keperluan bagi Mahkamah Tinggi memberi kebenaran (kepada
Dr Jeyakumar untuk memulakan semakan kehakiman) kerana dokumen jelas menunjukkan
bahawa beliau tidak mempunyai kes," katanya ketika menolak rayuan Jeyakumar.
Dr Jeyakumar mengemukakan rayuan terhadap tindakan Mahkamah Rayuan
membatalkan kebenaran yang diperolehnya daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
bagi memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan agensi kerajaan
menolak permohonan beliau mendapatkan peruntukan daripada dana khas kawasan
pilihan raya.
-- LAGI
MAHKAMAH-SUNGAI SIPUT 3 (AKHIR) PUTRAJAYA
Beliau memohon peruntukan khas itu untuk disumbangkan kepada SMJK Shin
Chung, SJK Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan serta beberapa projek
kecil bagi faedah penduduk kampung Orang Asli.
Dr Jeyakumar menamakan Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan
Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai
responden dalam permohonannya bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman
yang difailkan pada 29 Okt 2010.
Antara lain, beliau memohon satu pengisytiharan bahawa peruntukan dana khas
kawasan pilihan raya itu mesti disalur sama rata kepada semua Anggota Parlimen
tanpa mengira kaitan politik mereka mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan
Persekutuan.
Dr Jeyakumar juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden memberi
penjelasan berhubung bidang kuasa dalam mengagihkan dana daripada peruntukan
khas kawasan mengikut budi bicara mereka selain menuntut mengetahui prosedur
mengeluarkan peruntukan itu sejak 2008.
-- BERNAMA
JA LES SBB

