DAP gesa kerajaan keluarkan subjek Tamadun Islam dari universiti swasta

Oleh Md Izwan

Kementerian Pendidikan digesa supaya menarik balik Tamadun Islam sebagai subjek wajib kepada pelajar universiti swasta, kata Ahli Parlimen Kampar, Dr Ko Chung Sen.

Beliau berkata tidak ada satu pun universiti dalam dunia yang mewajibkan subjek berkaitan agama sebagai wajib untuk dipelajari.

"Lihat kepada universiti terkemuka di dunia, tiada subjek berkaitan dengan agama yang diwajibkan kepada pelajarnya.

"Bagaimana ia dapat membantu seseorang yang belajar untuk menjadi doktor, peguam ataupun jurutera? Kenapa ia perlu di Malaysia?" katanya.

Dr Ko berkata, kementerian dalam jawapan di Dewan Rakyat memberi alasan penyeragaman sebagai faktor subjek itu diwajibkan dan ia berkuat kuasa pada 1 September 2013.

Beliau berkata, universiti yang mahu mencapai status antarabangsa wajar memberi tumpuan kepada penerbitan penyelidikan, bukan kepada subjek yang tidak memberi sebarang impak.

"Kita wajar fokus kepada kaedah kajian dan menerbitkan kertas kajian," katanya.

Jun lalu, The Malaysian Insider melaporkan kegagalan universiti negara untuk berada dalam senarai 100 terbaik yang dikeluarkan Times Higher Education World University Rankings 2012/2013.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), satu-satunya universiti yang tersenarai tahun lalu pada kedudukan ke-98 juga tercicir. 11 Julai, 2013.