KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Pasukan kelab berstatus bintang Johor
Darul Takzim (JDT) FC mengetuai senarai 14 pasukan yang berjaya melayakkan diri
ke pusingan kedua Piala FA selepas perlawanan pusingan pertama hari ini.
JDT FC, yang dibimbing oleh lagenda bola sepak Singapura, Fandi
Ahmad, mara selepas menundukkan Perak 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos,
Larkin menerusi jaringan pemain pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak
pada minit ke-59.
Pada pusingan kedua 26 Feb ini, skuad Harimau Selatan itu dijadualkan
bertemu Kedah yang membelasah wakil Negeri Sembilan, Betaria FC 3-0 di Stadium
Alor Setar,
Pendahulu Liga Super, Pahang turut mara ke pusingan kedua setelah
mengalahkan Johor 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bharu.
Dua gol pasukan Johor dijaringkan oleh Muriel Juan Orlando pada minit ke-10
dan 49 manakala tiga gol skuad Tok Gajah disumbangkan oleh penyerang import dari
Maghribi, Mohamed Borji pada minit ke-13 dan dua gol Mohd Fauzi Rozlan minit
ke-45 dan 74.
--LAGI
SUKAN-PIALA FA (RANGKUMAN) 2 KUALA LUMPUR
Pahang akan menentang Tentera Darat FC pada pusingan kedua selepas pasukan
yang bersaing dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu menumpaskan
wakil kelab dari Pahang, Kuantan Port/Shahzan Muda dengan kemenangan 2-0 di
Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Juara lima kali Piala FA, Selangor mencatatkan kemenangan tipis 3-2 menerusi
sepakan penalti ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan sengit
yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dengan ATM terlebih dahulu
mendahului 2-0 menerusi penyerang import, Marlon Alex James dan Mohd Affize
Faisal Mamat masing-masing pada minit ketujuh dan ke-25 sebelum Selangor
menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Afiq Azmi pada minit ke-53 dan 57.
Skuad Gergasi Merah akan membuat perhitungan dengan Sabah pada pusingan
kedua selepas skuad Badak menjinakkan Felda United 2-1 dalam satu lagi
perlawanan pusingan awal.
Dua gol Sabah dijaringkan oleh penyerang import, Koh Traore pada minit ke-14
dan Jufrey Amopor pada minit ke-73 manakala gol saguhati skuad The
Settlers dihasilkan oleh Mohammed Ghaddar Mahmoud pada minit ke-65.
--LAGI
SUKAN-PIALA FA (RANGKUMAN) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Turut mara ke pusingan kedua ialah Terengganu yang mencatatkan kemenangan
selesa 3-1 ke atas wakil kelab Lembah Klang, SPA Putrajaya FC di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang.
Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Ismail Faruqi pada minit ke-30 dan dua
gol dari Jean Emmanuel Effa Owona pada minit ke-69 dan 80 manakala gol tunggal
pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Raja Mohamad Hafillah Raja Mamat pada
minit-minit akhir permainan.
Terengganu akan menentang Pulau Pinang di pusingan kedua selepas pasukan
Harimau Kumbang mengejutkan pendahulu Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dengan kemenangan 2-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Kaye Edrisar membuka tirai jaringan untuk PDRM seawal minit ketujuh sebelum
Mohd Syafuan Riduwan muncul wira skuad Harimau Kumbang dengan dua gol
masing-masing pada minit ke-50 dan 90.
Keadaan hujan lebat di sekitar Lembah Klang memaksa dua
perlawanan melibatkan perlawanan UiTM FC menentang Negeri Sembilan di Stadium
UiTM, Shah Alam dan Selangor PKNS menentang Lions XII di Stadium Majlis
Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya ditunda pada esok.
Dua finalist Piala FA musim lepas iaitu Kelantan dan Sime Darby FC tidak
beraksi pada pusingan pertama kerana mendapat ''bye''.
-- BERNAMA
HI SAY3 MKF FJM NAB ZAF IB MCYS DC

