Datuk Zakaria Sulong akhiri karier diplomat di London

Datuk Zakaria Sulong akhiri karier diplomat di London

Datuk Zakaria Sulong (gambar) mengakhiri karier diplomatnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London pada Ahad lalu.

Dengan penuh nostalgia, beliau menyifatkan perkhidmatan beliau di London sebagai menarik sepanjang 38 tahun karier beliau dalam perkhidmatan luar Malaysia.

Beliau yang menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London sejak Julai 2010 menyifatkan penempatan beliau di London sebagai pengakhiran yang baik kepada karier diplomatik beliau.

Beliau pertama kali berkhidmat di London sebagai kaunselor di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia dari 1993 hingga 1996.

"Selain London yang merupakan tempat yang menarik, saya menganggap diri saya bernasib baik dapat menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah. Sebagai contoh upacara penyerahan Hong Kong kembali kepada China pada 30 Jun 1997 bila ia tidak lagi menjadi koloni British.

"Saya ditempatkan di Hong Kong dari 1996 hingga 1998. Ia agak unik dan pengalaman yang menyentuh perasaan... ia menandakan pengakhiran Empayar British," katanya kepada Bernama.

Satu lagi penempatan yang menarik ialah di Bosnia-Herzegovina dari 2000 hingga 2004 bila Malaysia aktif dalam pembinaan semula Bosnia selepas perang.

"Bosnia masih merasai kesan dari konflik bersenjata yang menghancurkan ekonomi negara tersebut. Saya terpaksa pergi ke segenap pelusuk Bosnia.

"Tugas kita ialah untuk membantu memulihkan semula ekonomi Bosnia. Terdapat pengangguran yang besar di negara itu ketika itu. Kita cuba memulihkan rakyatnya agak dapat menyara kehidupan mereka. Kita juga membantu membina infrastruktur dan menggalakkan syarikat Malaysia untuk melabur," katanya.

Zakaria turut menghargai perkhidmatan beliau sebagai duta di Berlin, Jerman selama tiga tahun sehingga 2010 sebelum dipindah ke London sebagai pesuruhjaya tinggi.

"Jerman diketahui sebagai negara banyak idea. Rakyat Jerman menghargai dan menggalakkan inovasi dan idea baharu. Kita perlukan lebih banyak pelajar Malaysia belajar di institusi pengajian di Jerman dan memperoleh pengetahuan dalam teknologi dan kejuruteraan.

"Tetapi pelajar Malaysia merasa tidak bersemangat kerana bahasa Jerman tetapi mereka boleh lihat ini adalah aset kepada mereka kerana banyak syarikat Jerman menubuhkan anak syarikat mereka dan lain-lain operasi di Malaysia.

"Juga jangan lupa bahawa Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan pelabur terbesar Malaysia di Eropah," kata beliau yang baru-baru ini mengunjungi Berlin untuk menghadiri acara penganugerhan anjuran Persatuan Malaysia Jerman bagi menghargai Konsul Jeneral Kehormat Malaysia di Hamburg, Datuk Edgar Nordmann.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom (UK) adalah lebih kecil berbanding perdagangan antara Malaysia dan Jerman.

Perdagangan dua hala Malaysia dengan UK bagi 2012 adalah kira-kira RM13.637 bilion, tetapi mencapai RM44 bilion dengan Jerman.

Zakaria berkata semasa perjumpaan antara Perdana Menteri Britain David Cameron dan Datuk Seri Najib Razak, mereka bersetuju untuk menggandakan perdagangan menjelang 2016.

Perdagangan dengan UK tumbuh hampir tiga peratus setahun.

Syarikat British mengambil peluang dari kewujudan tenaga mahir teknologi tinggi di Malaysia, katanya.

Zakaria juga mendapati perdagangan kolektif UK dengan negara anggota Asean adalah lebih tinggi daripada perdagangan UK dengan China atau India.

Dengan kewujudan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015, Malaysia dilihat sebagai pusat kemasukan bagi syarikat British yang cuba menembusi pasaran AEC yang lumayan.

Diminta mengulas bagaimana beliau melihat kedudukan Malaysia dalam hal ehwal global, beliau berkata "suara Malaysia didengari di seluruh dunia".

Zakaria belum lagi membuat keputusan selepas bersara tetapi berkata buat permulaan beliau akan menghabiskan masanya bersama keluarganya dan menguruskan soal peribadi.

"Namun saya terbuka untuk mempertimbang sebarang peluang yang ada dan sesuai dengan latar belakang saya dalam perdagangan, pelaburan, perniagaan dan lain-lain lagi," katanya. - Bernama, 24 Disember, 2013.