KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)
dijangka mengeluarkan pada Jun depan peta bencana yang mengenal pasti kawasan
tanah tinggi di Lembah Klang yang berisiko untuk didiami.
Menyatakan demikian, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib
berkata pihaknya telah meminta Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) menjalankan
kajian mengenainya mulai Januari depan.
"Kita akan jalankan kajian dengan segera sebagai langkah keselamatan bagi
kediaman yang sudah didiami mahupun yang bakal dibina (di kawasan tanah
tinggi)," katanya kepada pemberita dekat lokasi kejadian tanah runtuh di Puncak
Setiawangsa di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam tinjauan ke kawasan kejadian yang berlaku pada 10 malam, Jumaat
lepas.
Mengulas lanjut, Ahmad Phesal berkata peta bencana itu dapat menjadi panduan
kepada pemaju perumahan dan penduduk bagi membolehkan mereka mengambil langkah
keselamatan tertentu.
-- LAGI
DBKL-PETA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Ahmad Phesal menafikan dakwaan kononnya pemaju di sekitar Bukit Setiawangsa
dan Puncak Setiawangsa membina kediaman tidak mengikut spesifikasi.
Beliau berkata syarikat berkenaan telah mengikuti segala piawaian pembinaan
dan keselamatan ketika membangunkan kawasan perumahan itu lebih 20 tahun lalu.
"Spesifikasi ini berubah dari semasa ke semasa dan apabila berlaku kejadian
bencana alam seperti ini, kita tidak boleh menunding jari kepada satu pihak
kerana insiden seperti ini tidak dapat dijangka.
"Namun Bahagian Siasatan Cerun, Jabatan Kerja Raya sedang menjalankan
siasatan bagi mengenal pasti punca utama kejadian berdasarkan keadaan tanah dan
struktur pembinaan oleh pemaju," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pemaju diarah merobohkan segera sebuah banglo
lereng bukit yang terjejas teruk dalam kejadian tanah runtuh itu.
-- BERNAMA
MRA MAF MAM RS

