Dedah peruntukan bukan Islam di Pulau Pinang, kata Ibrahim Ali

Perkasa desak isu tanah rizab Melayu dijadikan agenda nasional

Datuk Ibrahim Ali tidak berpuas hati dengan penjelasan kerajaan negeri Pulau Pinang yang mendedahkan peruntukan untuk umat Islam dan mahu kerajaan negeri turut mendedahkan peruntukan kepada agama lain.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu berkata Pulau Pinang perlu membuktikan kepada umat Islam diberikan lebih banyak dana berbanding agama lain kerana Islam agama Persekutuan Malaysia.

"Berikan senarai sumbangan kepada agama lain," katanya selepas kerajaan negeri mendedahkan peruntukan kepada umat Islam meningkat berbanding apa yang dilakukan sebelumnya oleh kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).

Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim pada 23 Julai menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan RM51.7 juta untuk hal ehwal Islam pada 2014 meningkat dari RM35.78 juta pada 2009. Sementara itu, kerajaan BN hanya memperuntukkan RM25.49 juta pada 2008.

Malik memberi penerangan itu selepas bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa dua hari sebelumnya Islam diancam di Pulau Pinang dengan kumpulan bukan Islam mahu dana yang lebih untuk agama mereka.

Bercakap selepas sahur bersama ahli Perkasa Pulau Pinang awal pagi ini, Ibrahim turut mempertahankan Hamid yang digelar ketua menteri Lim Guan Eng sebagai "penipu, rasis dan ekstremis".

Ibrahim mendakwa Hamid berkata demikian selepas diberitahu "ancaman" berkenaan oleh bekas mufti negeri. "Kita tidak boleh salahkannya. Bekas mufti pasti akan berkata benar," katanya.

"Beliau berkata Lim selaku setiausaha agung DAP perlu bertindak seperti pemimpin negeri dan tidak wajar menyelar kenyataan Hamid.

"Tak baik menyelar Hamid. Jadilah kerajaan yang profesional. Jika ada tuduhan, buktikan dengan fakta," katanya.

Ibrahim turut menolak kenyataan Lim mendakwa BN berasa kurang senang melalui Gerakan yang iri hati kerajaan negeri memberi terlalu banyak kepada umat Islam.

Katanya, ia usaha Gerakan bagi menarik perhatian orang Cina sama seperti yang DAP mahukan.

"Gerakan, DAP dan MCA mahu menunjukkan siapa yang lebih Cina," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Perkasa Selangor yang mengumpul dana kepada Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Kiki bagi membolehkan dia membayar saman mahkamah, Ibrahim berkata tiada tindakan diambil kepada orang bukan Melayu.

"Tidak sampai dua minggu, dia dah didenda.

"Budak Melayu yang diterajang, tiada tindakan diambil," katanya merujuk sebuah video yang tersebar luas di laman sosial menyaksikan remaja lelaki Melayu diterajang beberapa kali oleh lelaki Cina atas kesalahannya. – 26 Julai, 2014.