PETALING JAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia
(BAM) Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh menyifatkan desakan sesetengah pihak
supaya beliau berundur lebih awal daripada jawatannya yang berakhir pada Mei
tahun depan lebih kepada pendapat individu itu semata-mata.
Beliau yang mengetuai barisan kepimpinan BAM sejak 2001 sebaliknya berkata
jawatan dalam badan induk badminton negara itu termasuk kerusi presiden yang
disandangnya ketika ini ditentukan oleh anggota-anggota Majlis BAM yang
mempunyai kuasa untuk melantik individu yang layak.
"Semua orang boleh memberikan pendapat masing-masing mengenai kedudukan saya
selaku Presiden BAM. Saya mempunyai tempoh (untuk memegang jawatan Presiden BAM)
sehingga Mei tahun depan dan biarlah ahli Majlis yang menentukan kedudukan saya
selepas ini.
"Malahan, saya turut memberitahu ahli Majlis BAM bahawa saya tidak akan
mempertahankan jawatan saya. Jadi, desakan sedemikian hanyalah satu pendapat
semata-mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas menziarah jenazah
mendiang Datuk Punch Gunalan yang meninggal dunia di rumahnya akibat kanser
pundi hempedu di sini, hari ini.
Mohd Nadzmi diminta mengulas mengenai desakan sesetengah pihak termasuk
pengkritik sukan tanah air Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim baru-baru
ini yang meminta beliau meletakkan jawatan lebih awal ekoran kegagalan skuad
badminton negara mencapai sasaran ditetapkan pada Sukan Olimpik London.
-- LAGI
SUKAN-BAM (MOHD NADZMI) 2 (AKHIR) PETALING JAYA
Pada temasya Olimpik yang berakhir Ahad lepas, perseorangan
lelaki negara Datuk Lee Chong Wei gagal menghadiahkan pingat emas Olimpik
pertama negara selepas tumpas kepada musuh tradisinya yang juga pemain nombor
satu dunia dari China, Lin Dan dengan keputusan 21-15, 10-21, 19-21 di Wembley
Arena.
Lebih mengecewakan apabila pasangan beregu lelaki negara Koo Kien Kiat/Tan
Boon Heong turut gagal meraih pingat gangsa selepas tewas kepada pilihan utama
dari Korea Jung Jae Sung/Lee Yong Dae dengan keputusan 21-23, 10-21.
Sementara itu, Mohd Nadzmi berkata BAM sebelum ini mencadangkan beberapa
lokasi di sekitar Lembah Klang sebagai tapak untuk membangunkan Akademi
Badminton Negara berbanding Stadium Juara, Bukit Kiara.
"Yang menjadi masalah sekarang ialah untuk mendapatkan tapak tanah untuk
membina bangunan akademi tersebut. Kita telah diberikan tanah untuk membangunkan
akademi itu (sebelum ini) namun ia harus ditukar disebabkan beberapa faktor
seperti tapak tidak sesuai serta kos pembinaan yang tinggi.
"Saya turut memberitahu Perdana Menteri (pada 12 Ogos lepas) bahawa cara
termudah ialah dengan mengambil alih fasiliti yang terdapat di Stadium Juara
Bukit Kiara ketika ini. Beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) serta Menteri Belia
dan Sukan (Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek) bersetuju dengan pandangan itu,"
katanya.
-- BERNAMA
MCYS NAK RHM

