Advertisement

Di mana Wanita Umno?

Di mana Wanita Umno?

Oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 4 Mei — Wanita Umno secara tradisinya dikenali sebagai jentera berkempen yang besar untuk Umno.

Semuanya bagaimanapun seakan hilang ketika Pilihan Raya 2013 kali ini.

Sayap wanita Barisan Nasional (BN) itu seakan-akan lenyap dalam kempen perikatan tersebut, dengan media memberikan liputan meluas untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Siapa yang dilihat bersungguh-sungguh berkempen — hanya Najib dan Muhyiddin,” kata penganalisis politik Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff kepada The Malaysian Insider.

“Sukar untuk kita melihat aktiviti Shahrizat,” tambahnya merujuk kepada Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Walaupun Wanita Umno masih melakukan kempen rumah ke rumah di kawasan pedalaman seperti di Kedah dan Johor, ahlinya jarang memberi ceramah dan hanya memenuhkan kerusi walaupun pilihan raya akan berlangsung Ahad ini.

Portal pro Umno AgendaDaily juga tidak memaparkan Shahrizat atau pemimpin Wanita Umno yang lain ketika tempoh berkempen, dan akhbar berbahasa Inggeris, The Star dan New Straits Times juga sukar dilihat memberikan liputan kepada Wanita Umno.

Mohammad Agus berkata kempen Wanita Umno yang tidak “tersusun” disebabkan pemimpin yang berpecah, selepas Shahrizat enggan bertanding dalam Pilihan Raya 2013, dan timbalannya Datuk Kamilia Ibrahim meninggalkan parti dan menjadi calon Bebas kerusi Parlimen Kuala Kangsar.

Kamilia dijangka akan mengisi kerusi berkenaan sebagai calon BN, namun parti itu sebaliknya meletakkan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad walaupun Kamalia adalah merupakan Ketua Bahagian Umno di sana.

Keputusan Shahrizat untuk tidak bertanding dalam pilihan raya disebabkan keluarganya didakwa menipu dana kerajaan untuk projek penternakan lembu kepada pembelian kondominium mewah.

Mohammad Agus menjelaskan kempen Wanita Umno untuk pilihan raya bermula sejak Kemerdekaan, dilihat tenggekam kali ini berbanding pilihan raya sebelum ini.

“Tiada blogger wanita membicarakan berkenaan wanita ... kempen mereka tidak tersusun atau menarik, seharusnya ia lebih agresif, namun itu tidak berlaku,” katanya yang merupakan penganalisis politik bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Laman Facebook Wanita Umno juga jarang dikemaskini dengan tarikh terakhir adalah pada 23 April setakat ini. Sebaliknya Facebook Shahrizat dikemaskini dengan terkini meelalui gambar yang dimuat naik dalam lawatannya ke seluruh negara.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Professor Jayum Jawan berkata Wanita Umno ibarat “pasukan tenpa ketuanya”.

“Mereka menjadi kurang efektif membantu Umno berbanding ketika mereka bersatu sebelum perkara yang melibatkan Kamilia itu berlaku, sebelum Datuk Seri Shahrizat didakwa terlibat dengan salah laku,” katanya kepada The Malaysian Insider.

James Chin turut berkata Wanita Umno menjadi tidak bersemangat dan majoriti calon baru BN adalah lelaki.

“Mereka menyediakan senarai professional yang ramai seperti peguam dan kesemuanya diserahkan kepada Najib, namun tiada yang tercalon,” katanya merujuk kepada Wanita Umno.

“Ketika hari penbamaan calon Shahrizat langsung tidak balik ke Lembah Pantai. Beliau di Sabah dan Sarawak,” kata pensyarah Monash University itu.

Shahrizat, tewas kerusi Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar pada 2008, telah berjanji untuk berkempen bagi calon BN, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Wanita membentuk 10.3 peratus calon BN di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya 2013, peningkatan 9.5 peratus berbanding Pilihan Raya 2008, menurut Shahrizat yang dipetik akhbar The Star.

Ada 168 calon wanita bertanding kali ini, kira-kira 8.8 peratus daripada 1,900 calon berbanding 120 calon wanita pada Pilihan Raya 2008.

Wanita Umno telah menghasilkan pemimpin berwibawa sepeti Allahyarham Tan Sri Aishah Ghani, senator wanita pertama, Tan Sri Rafidah Aziz, yang dikenali sebagai “Iron Lady” dan pernah menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri, termasuk Tan Sri Napsiah Omar, pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Kaum Ibu Malaya, yang kemudiannya ditukar nama menjadi Wanita Umno turut berjuang untuk kemerdekaan dengan diketuai Allahyarham Tun Dr Fatimah Hashim.

Pembantu Setiausaha Wanita Umno Datuk Rosni Sohar bagaimanapun berkata kempen mereka hari ini “sangat bagus”.

“Selain pergi dari rumah ke rumah, kami mengadakan ceramah besar dan kecil. Ia menjadi semakin menarik,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegasnya lagi, tindakan Kamalia meninggalkan parti tidak memberikan kesan kepada jentera Wanita Umno kerana mereka mempunyai standard prosedur operasi di seluruh negara.