Advertisement

Dia ingat saya ada duit sebanyak itu, kata anak Taib Mahmud

Dia ingat saya ada duit sebanyak itu, kata anak Taib Mahmud

Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib memberitahu Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini bekas isterinya Shahnaz Majid mungkin dipergunakan sehingga memfailkan tuntutan mutaah sebanyak RM521 juta dalam kes perceraian mereka.

Katanya, mungkin juga Shahnaz percaya beliau mempunyai wang banyak apabila membuat tuntutan RM100 juta untuk bayaran perdamaian, RM121 juta nafkah anak, dan RM300 juta untuk harta sepencarian.

"Mungkin dia percaya saya ada duit sebanyak itu, mungkin dia dapatkan nasihat yang salah atau tidak tepat, tapi saya rasa dia diperdayakan, menyebabkan dia membuat tuntutan sangat tidak munasabah.

"Saya sedar ada beberapa pihak cuba memperlihatkan seolah-olah keluarga saya memperolehi kekayaan melalui rasuah, tapi itu semua penipuan, mainan politik," katanya ketika memberi keterangan di mahkamah, hari ini.

Mahmud dalam keterangannya berkata, Shahnaz sangat marah ketika dia mohon untuk bercerai.

"Melihat kepada tuntutan yang dibuatnya di mahkamah ini, dia seolah-olah mahu menghukum saya," katanya.

Katanya, dia hanya menceraikan isterinya pada Mei 2011 selepas mereka hidup berasingan selama 12 tahun, kerana rasa kasihan kepadanya.

Mahmud, anak bekas ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, memberi keterangan di mahkamah terhadap tuntutan muta'ah bekas isterinya.

Beliau memfailkan kes perceraian mereka pada 11 Mei, 2011.

Shahnaz, kakak kepada penyanyi terkenal tanah air Sheila Majid, berkahwin dengan Mahmud pada Januari 1992 dan dikurniakan anak lelaki yang kini berusia 20 tahun.

Mahmud berkata, mereka hanya hidup bersama sebagai suami isteri selama 7 tahun.

"Kami terus hidup berasingan selama 12 tahun sebelum bercerai kerana kasihankan dia.

"Tetapi saya maklumkan jika kami bercerai dia boleh memulakan hidup baru dan anak kami cukup matang untuk memahaminya, namun setiap kali saya bangkitkan perkara itu, dia enggan mendengar, seperti enggan bercerai," katanya.

Mahmud berkata, sepanjang hidup berasingan, mereka akan bertemu sekali sekala dan berbincang mengenai anak dan menambah, mereka tidak pernah bertengkar sepanjang pertemuan itu.

Katanya, laporan mengenai aset dan hartanya yang disediakan firma akuantan Ferrier Hodgson MH Sdn Bhd, menceroboh hak peribadinya.

"Mereka mengambil gambar tanah di Bukit Tunku lokasi rumah sedang dibina dari dekat, namun tiada seorang pun yang meminta kebenaran, atau membuat walau satu panggilan telefon.

"Pada pendapat saya, itu menceroboh," katanya.

Andrew Heng, rakan kongsi dalam Ferrier Hodgson yang diupah Shahnaz dalam keterangannya berkata Abu Bekir mempunyai aset bernilai antara RM976 juta dan RM1.395 bilion.

Mahmud berkata, firma berkenaan turut memasukkan aset arwah ibunya Puan Sri Laila Taib dan beliau mempersoalkan kepakaran firma itu berhubung pemilikan harta pusaka di bawah undang-undang Islam.

"Harta ibu saya dibahagikan mengikut hukum Faraid, jadi saya tidak tahu sejak bila Ferrier Hodgson menjadi pakar undang-undang syariah," katanya.

Beliau turut menyuarakan rasa kecewa apabila pekerja Maybank memberikan keterangan berkenaan penggunaan kad debit America Express Platinum miliknya.

"Kad itu untuk kegunaan peribadi saya.

"Saya kecewa dengan bank itu kerana mereka bertanggungjawab untuk menyembunyikan maklumat pelanggan mereka," katanya.

Mahmud berkata, sejak menjadi ahli perniagaan ketika berusia 19 tahun, beliau tidak pernah menghadapi situasi sebegini kerana bank mempunyai tanggungjawab menyembunyikan maklumat dan hanya mendedahkannya apabila diminta pihak berkuasa.

"Mungkin plaintif mengharapkan untuk mendapat wang yang banyak tetapi saya ingin katakan jumlah sebegitu besar tidak wujud dan dia ditipu," katanya.

Perbicaraan di depan hakim Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung pada 17 November. – 8 September, 204.