Diskriminasi punca wanita Malaysia jauhi pasaran kerja formal, kata laporan

Walaupun pelbagai inisiatif diberikan, bilangan wanita Malaysia yang bekerja dalam tenaga kerja formal kekal rendah iaitu di bawah 50% sejak sekian lama, manakala dalam ekonomi formal mereka berpendapatan kurang daripada lelaki di setiap peringkat spektrum pekerjaan, menurut Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013.

Wanita Malaysia terus berada di luar pasaran buruh formal walaupun berpendidikan tinggi, menunjukkan dasar tidak fleksibel menghalang penyertaan mereka dalam tenaga kerja serta persepsi wanita bertanggungjawab semata-mata terhadap rumah tangga dan penjagaan keluarga.

Laporan yang disiarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menyatakan penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah rendah dan berlaku diskriminasi gaji antara jantina memberi impak kepada pertumbuhan dan perjuangan Malaysia ke arah membebaskan isi rumah berpendapatan rendah daripada belenggu kemiskinan.

Sejak 20 tahun lalu, kadar pekerjaan bagi wanita di Malaysia kekal di bawah 50%, 47.9% pada 2011 dan 49.5% pada 2012, berbanding kadar penyertaan tenaga kerja lelaki yang hampir 80%, kata laporan yang dirasmikan pada Selasa di Kuala Lumpur.

Ini merupakan kadar "luar biasa rendah" bagi penyertaan wanita dalam tenaga kerja, berbanding negara lain di rantau ini seperti Thailand (69.9%), Singapura (62.9%) dan Indonesia (53.3%) pada 2011, kata laporan itu.

"Kadar penyertaan tenaga buruh yang rendah juga bermakna daripada 9,555,700 wanita dalam kumpulan umur bekerja pada 2011, hanya 4,575,300 berada dalam golongan tenaga buruh," menurut laporan itu.

"Baki 4,980,400 – hampir 5 juta wanita, hampir dua kali ganda berbanding lelaki (2,009,900) – yang sepatutnya mampu mendapat pekerjaan secara rasmi dianggap sebagai tidak 'bekerja' atau ‘tidak mencari pekerjaan".

Laporan itu juga mengakui terdapat wanita yang melakukan kerja tidak berbayar dan juga menyumbang kepada ekonomi dan masyarakat melalui peranan reproduktif dengan menjadi penjaga, atau melakukan kerja tidak formal lain.

Diskriminasi gaji mengikut jantina

Namun, bagi wanita Malaysia yang mempunyai pekerjaan berbayar, pendapatan purata kurang daripada rakan sejawatan lelaki di semua bidang pekerjaan.

Menurut statistik 2008 daripada Kementerian Sumber Manusia, lelaki berpangkat pegawai kanan dan pengurus berpendapatan gaji bulanan purata RM4,296, manakala wanita dalam kedudukan yang sama memperoleh hampir separuh jumlah itu, RM2,522.

Lelaki dalam kategori profesional memperoleh purata RM3,670, tetapi rakan perempuan memperoleh RM2,848.

Malah pekerja lelaki di "loji dan operator mesin serta pemasangan" memperoleh purata RM860 berbanding gaji purata rakan perempuan mereka iaitu RM623.

"Di semua pekerjaan formal, lelaki memperoleh lebih banyak wang daripada wanita ... ini jelas diskriminasi gaji atas dasar jantina tetapi dirasionalkan sebagai kelayakan rendah bagi wanita," menurut laporan itu.

Perbezaan gaji antara lelaki dan wanita lebih besar dalam pekerjaan peringkat tinggi, seperti kategori profesional, berbanding pekerjaan berpendapatan rendah seperti pekerja kraf dan perkhidmatan.

"Penemuan ini menunjukkan kapasiti mobiliti untuk merapatkan jurang pendapatan adalah terhad dan mungkin secara sistematik terhalang, paling jelas dalam jawatan profesional," katanya.

Berpendidikan tetapi menganggur

Sementara itu, bilangan wanita menganggur yang berpendidikan tinggi (memiliki ijazah) meningkat sejak 1990 hingga 2010, kata laporan itu.

Ini menunjukkan sama ada lebih ramai wanita melanjutkan pengajian dalam bidang yang tidak memenuhi kehendak pasaran, atau pasaran sangat rigid kepada penyertaan wanita dalam ekonomi formal.

Wanita juga cenderung memilih perkhidmatan dan kerja perkeranian, dan terus ketinggalan di belakang pekerja lelaki di bahagian peringkat tertinggi spektrum kerja dalam jawatan seperti pegawai kanan dan pengurus, laporan itu mendedahkan.

"Pada 2010, terdapat lebih 600,000 orang menduduki jawatan 'pegawai kanan dan pengurus' manakala hanya lebih 200,000 wanita dalam kategori yang sama ... dalam 10 tahun, wanita di peringkat pegawai kanan dan pengurus meningkat sebanyak hanya 3%," ujar laporan itu.

Laporan itu berkata ketidaksamaan gender dalam pekerjaan profesional atau teknikal disebabkan bagaimana pasaran menuntut lebih daripada wanita dalam pekerjaan mereka untuk berjaya.

Ia disimpulkan daripada pemerhatian yang lelaki dengan tahap kelulusan sekolah menengah atau kurang mempunyai peluang lebih besar berbanding rakan perempuan mereka untuk menjadi profesional.

Penjagaan rumah tangga dan keluarga

Data menunjukkan kekurangan peluang, bukannya kemampuan dipersalahkan bagi wanita di dalam tenaga kerja, kata penulis laporan itu.

"Pada akhirnya, salah satu daripada halangan terbesar penyertaan wanita dalam ekonomi adalah kepercayaan beban tanggungjawab terhadap keluarga terletak sepenuhnya di tangan mereka.

"Sehingga masyarakat menerima lelaki dan wanita mempunyai peranan yang sama dalam keluarga bagi melaksanakan kerja domestik dan tanggungjawab penjagaan, wanita berasa sukar bukan saja untuk mengambil bahagian dalam pasaran buruh, tetapi juga untuk kekal aktif sepanjang hayat mereka."

Laporan itu menyatakan wanita yang memilih untuk ‘berehat’ bagi menumpukan tanggungjawab terhadap keluarga berbanding kerjaya, sukar untuk kembali kepada pekerjaan mereka kerana dianggap sebagai "kurang komited" berbanding rakan yang tidak bertindak demikian.

Gerakan seperti kerja-fleksi di bawah Akta Pekerjaan pada 1998 bagi membenarkan wanita "mengintegrasikan kerjaya dengan tugasan rumah tangga " dan bersalin dilanjutkan hingga 90 hari bagi sektor kerajaan juga seolah-olah tidak menaikkan peratusan wanita dalam tenaga kerja.

Laporan itu berkata inisiatif lain Putrajaya untuk menarik lebih ramai wanita ke dalam tenaga kerja adalah bersifat program ad-hoc dan one-off saja, ada yang membantu sedikit saja dalam memecahkan stereotaip jantina kerana mereka melatih wanita dalam bidang seperti jahitan, kecantikan, sulaman atau kraf.

"Didakwa program latihan dan kemudahan kredit (bernilai berjuta ringgit) mencapai beribu wanita mungkin benar tetapi kesan sebenar masih tidak dipastikan," menurut laporan itu.

"Kadar tenaga buruh wanita yang rendah secara konsisten menunjukkan usaha ini memberi kesan praktikal yang terhad, atau masih belum mencapai hasil dikehendaki."

Bagi menyelesaikan isu ini, laporan itu mencadangkan Putrajaya membuat formalisasi agenda jangka panjang bagi pekerjaan dan keselamatan pekerjaan produktif.

Kerajaan juga perlu meluaskan akses dan kualiti penjagaan kanak-kanak, memastikan pekerja wanita dibayar saraan secara adil dan saksama, dan pembaharuan undang-undang buruh dan semua undang-undang yang mendiskriminasi wanita.

Laporan itu juga mencadangkan Putrajaya menyediakan pembangunan kemahiran yang sesuai dan memudahkan peralihaan pendidikan-kepada-kerja dan terus menyokong wanita di sektor luar bandar serta pertanian, di samping mereka yang berada dalam perusahaan mikro kecil dan sederhana.

Laporan itu ditulis oleh Tan Sri Datuk Dr Kamal Salih, profesor adjung Ekonomi dan Pembangunan Kajian di Universiti Malaya (UM); Dr Lee Hwok Aun, daripada Jabatan Pengajian Pembangunan UM dan Dr Muhammad Khalid daripada Institut Penyelidikan Khazanah.

Laporan itu diterbitkan untuk Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan ditaja Unit Perancang Ekonomi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri dan UNDP. – 27 November, 2014.