Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 29 Okt — Datuk Donald Lim Siang Chai hari ini membawa bukti bahawa masih banyak lagi projek perumahan mampu milik belum siap di Selangor.
Pengerusi MCA Selangor itu berkata dalam satu sidang media di parlimen hari ini, kerajaan negeri berjanji untuk membina 23,637 unit rumah dibina melalui anak syarikat negeri, namun hanya 287 sahaja yang sudah disiapkan sepanjang empat tahun pemerintahan.
“Menteri besar harus menjawab soalan ini, dan bukannya Tony Pua sahaja.
“Ini kerana Tony Pua bukanlah Menteri Besar Selangor, dari cara beliau menjawab seolah-olah beliau adalah menteri besar Selangor,” katanya.
Menurut Lim, pada sidang dewan undangan negeri (DUN) Selangor Mac tahun ini, ahli DUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak bertanya kepada menteri besar tentang berapa jumlah rumah mampu milik yang dibina dari tahun 2008 hingga kini.
Dalam jawapan bertulis, menteri besar berkata sebanyak 23,637 unit rumah mampu milik telah dibina oleh Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tempoh April 2008 hingga kini.
“Pun begitu hanya 287 sahaja yang siap, iaitu 180 unit di Gombak, dan 107 di Hulu Selangor,” katanya lagi.
“Hanya 6,352 unit dalam pembinaan dan selebihnya masih belum dibina langsung.”
Dalam laporan The Malaysian Insider sebelum ini, MCA Selangor telah mencabar Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menunjukkan 23,000 unit rumah kos rendah yang dijanjikan semasa pilihan raya lalu.
Lim yang merupakan timbalan menteri kewangan berkata, dalam janji kerajaan Pakatan Rakyat (PR) untuk membina rumah kos rendah, mereka cuma dapat menyiapkan kurang dari 1,000 unit rumah sahaja.
Beliau mengatakan kerajaan negeri hampir tiada projek baru untuk perumahan kos rendah.
Menurut Lim lagi, PKNS kini lebih berminat untuk membangunkan kediaman mewah daripada kediaman kos rendah atau sederhana.


