Malaysia Elections 2013

Dr M menjangkakan kerajaan BN yang lemah lepas PRU 13

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) hari ini meramalkan Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah Malaysia selepas pilihan raya umum (PRU) ke 13 sebagai sebuah kerajaan lemah dan ini tidak baik kerana gabungan pemerintah tersebut akan lebih memfokuskan kepada survival mereka lebih daripada pembangunan negara.

Bekas perdana menteri (PM) menegaskan tanpa majoriti dua pertiga di parlimen, sesuatu kerajaan itu akan mudah dijatuhkan dengan tindakan melompat parti secara beramai-ramai.

“Jika kerajaan lebih berminat untuk menentukan survival, mereka tidak akan memastikan pembangunan dan kemakmuran negara.

“Apabila seseorang pemimpin hanya menumpukan untuk survival mereka, tumpuan untuk perniagaan, industri komersil akan berkurangan,” kata beliau dalam Forum CEO 2012 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Dr Mahathir berulang kali menegaskan keperluan untuk mandat lebih besar bagi BN untuk memastikan kemakmuran Malaysia, turut menyatakan ini penting untuk kerajaan melaksanakan polisi yang mungkin tak popular tetapi untuk membangunkan negara.

“Saya kata kerajaan kuat perlu jika kita mahu laksanakan sesuatu yang tidak menyenangkan. Kita tak boleh lakukan sesuatu yang menyenangkan sepanjang masa.

“Kerajaan perlu menggusarkan rakyat. Jika kerajaan nak jadi popular setiap masa, mereka mungkin melakukan kesalahan,” katanya.

Sumber dari BN memberitahu beberapa survey yang dilakukan baru-baru ini mengatakan bahawa BN perlu bekerja lebih keras untuk menang dengan lebih besar terutamanya bagi 2.2 juta pengundi yang pertama kali mengundi.

Pilihan raya akan datang perlu diadakan selewat-lewatnya sebelum mandat BN tamat selepas April 2013.

Difahamkan kompilasi survey yang dilakukan mendedahkan bahawa BN boleh menang sehingga 146 kerusi dengan sekurang-kurangnya 80 dijamin menang, lebih daripada apa yang dimenangi mereka sebanyak 140 kerusi pada tahun 2008.

Kadar populariti PM Datuk Seri Najib Razak dikalangan masyarakat Cina dan India menurun selepas perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 28 April lalu.

Akan tetapi survey terbaru daripada Merdeka Center menunjukkan populariti Najib meningkat ke 69 peratus, oleh kerana sokongan besar dariapada rakyat Malaysia yang miskin.

Ini disebabkan pemberian wang tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang Dr Mahathir dakwa hari ini menghampiri pembelian undi.

Selain dari ramalan kesukaran BN untuk mendapatkan manoriti dua pertiga, Dr Mahathir tidak lupa untuk menghentam Pakatan Rakyat (PR) yang beliau katakan tidak bersatu padu untuk memerintah dengan baik.

Beliau memberikan contoh pertelingkahan PAS dan DAP mengenai hukum Hudud sebagai contoh perpecahan dalam PR.

“Pertama… Mereka adalah ‘pakatan’ dan bukan gabungan. Ada tanggapan negatif dengan perkataan ‘pakat’… Sebab biasanya, orang ‘pakat’ untuk buat benda jahat.

“Mereka juga sudah mempunyai masalah tentang hukum hudud, yang mereka kata akan potong tangan sebagai hukuman kepada pencuri,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata perlaksanaan hukum hudud untuk orang Islam hanya untuk memecahbelahkan negara oleh kerana terdapat dua sistem perundangan.

Beliau juga mengatakan keadilan tidak dapat ditegakkan apabila dua orang pencuri, seorang Islam dan seorang bukan Islam ditangkap dimana mengikut hudud orang Islam tersebut akan dipotong tangan dan yang bukan Islam akan dipenjarakan dua bulan kerana mengikut undang-undang sivil.

“Islam mementingkan keadilan. Dan jika ini tidak menegakkan keadilan, ia bukan Islamik,” katanya.

Dr Mahathir juga memberi amaran rasuah lebih besar akan berlaku jika PR memerintah kerana menurut ramalan beliau oleh PR akan mengurangkan beban cukai terhadap rakyat Malaysia yang akan menyebabkan amalan rasuah berleluasa dikalangan penjawat awam.

Beliau menerangkan dengan mengurangkan beban cukai kepada rakyat Malaysia, keuntungan kerajaan akan berkurangan dan ini akan menyebabkan gaji penjawat awam diturunkan.

“Bila gaji rendah, mereka (penjawat awam) akan kurangkan standard dan meminta wang (dari rasuah). Rasuah akan bertambah dahsyat apabila penjawat awam tidak mempunyai gaji mencukupi,” katanya.

Dr Mahathir juga menimbulkan isu pembayaran 20 peratus royalti kepada kesemua negeri pengeluar minyak akan menyebabkan hasil kerajaan berkurangan dan pembangunan diantara negeri yang mempunyai minyak dan tidak mempunyai minyak tidak seimbang.

“Saya ragu jika negeri-negeri ini sedar tentang perkara ini,” katanya.

Loading...

MORE ELECTION STORIES

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.