Oleh Ida Lim dan Leannza Chia
KUALA LUMPUR, 15 Okt — Bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil (gambar) memberitahu mahkamah tinggi bahawa pemimpin Barisan Nasional (BN) telah “terpengaruh” dengan kenyataan dari pengarah strategi PKR Rafizi Ramli dan ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin, tetapi tidak bersetuju bahawa mereka telah “dibasuh otaknya” oleh kedua defendan.
Ketua Wanita Umno itu memberi keterangan dalam sesi soal balas dengan peguambela Ranjit Singh dalam kes fitnah dengan Rafizi dan Zuraida berkenaan kenyataannya tentang skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Ranjit telah membaca beberapa kenyataan dari pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz yang mahu beliau meletak jawatan parti dan kementerian berikutan dari kontroversi projek NFC.
Ranjit bertanya beliau apakah kenyataan pemimpin BN tersebut berdasarkan fakta atau “terpengaruh” dengan kenyataan Rafizi dan Zuraida.
“Mereka terpengaruh dengan kenyataan defendan pertama dan kedua,” kata Shahrizat.
“Apa yang saya tahu bahawa mereka cuma manusia biasa. Ini adalah pembunuhan karier politik dan fitnah, mereka mungkin terpengaruh,” katanya.
Sebelum itu, Ranjit telah bertanya adakah “pemimpin tertinggi BN telah “dibasuh otaknya” oleh defendan pertama dan kedua”.
Shahrizat menjawab: “Tidak”.
PKR berulang kali menyerang projek tersebut dengan dakwaan tentang “pinjaman” kira-kira RM84 juta yang diberikan kepada NFC kepada syarikat yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat, termasuk RM13.8 juta untuk dua kondominium mewah di Bangsar.
Shahrizat, isteri kepada pengerusi NFCorp Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, telah dikaitkan dengan skandal itu oleh PKR kerana kedudukan suaminya dan tiga orang anaknya yang dilantik selaku pengarah dalam syarikat yang sama.
Mohamad Salleh telah didakwa atas jenayah pecah amanah dan melanggar Akta Syarikat melibatkan RM49 juta dana pesekutuan yang diberi kepada NFCopr pada 12 Mac.
Mohamad Salleh didakwa atas kanun keseksaan kerana menyalahgunakan RM9,758,140 dari wang NFCorp untuk membeli dua kondominium mewah di One Menerung di Bangsar untuk Perbadanan Daging dan Ternakan Nasional (NMLC) pada 1 Disember dan 4 Disember 2009.
Dia juga didakwa memindahkan RM40 juta wang NFCorp kepada NMLC antara 6 Mei hingga 16 November 2009.
Beliau didakwa dalam dua kes tersebut kerana mennggunakan dana tanpa mesyuarat tahunan syarikat, iaitu kesalahan dalam Akta Syarikat.
Jika didapati bersalah beliau akan menghadapi penjara antara dua hingga 20 tahun penjara, sebatan dan denda kerana kesalahan di bawah kanun keseksaan.



