Advertisement

Dr Mahathir kekal kesihatan dengan buah kurma


Pada usia menjangkau hampir 90 tahun, bekas Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad cukup berhati-hati menjaga pemakanan beliau demi mengekalkan kesihatan diri. Seperti Ramadan sebelum ini, Dr Mahathir mengamalkan memakan kurma sebagai hidangan utama ketika berbuka puasa.

“Saya lebih gemarkan kurma berbanding makanan lain. Cukup diambil dengan segelas air sebagai pembasah tekak,” kata bekas pemimpin negara yang baru saja meraikan ulangtahun kelahiran beliau yang ke-88 pada 10 Julai lalu.

Selesai berbuka bersama keluarga lazimnya Dr Mahathir terus mendirikan solat Maghrib sebelum bersiap sedia untuk menunaikan solat sunat Terawih di masjid. Jika ada jemputan rasmi berbuka puasa untuk dihadiri, beliau akan tetap menjamu selera dengan kurma sahaja sebagai langkah mengawal pemakanan.

“Saya ni bukannya kuat makan. Cukuplah dulu-dulu saya mampu menjamu selera sebanyak empat kali sehari bila menghadiri majlis-majlis formal. Di usia begini, saya sudah tidak punya selera besar,” ujar Dr Mahathir yang ditemui di majlis pelancaran Kejohanan Paintball Piala Dunia Asia 2013 anjuran NAZA World (NWCAP2013) di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Apabila selesai ibadah solat Terawih tambah bekas pemimpin yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah ini akan mula menjamah juadah berbuka yang telah disediakan oleh keluarga tercinta.

“Itu pun hanya pada kadar berpada-pada. Saya ni bukannya apa, hanya ingin membantu diri saya untuk kekal sihat,” ujar beliau sambil tersenyum.

Walaupun telah bersara daripada politik, Dr Mahathir masih aktif memenuhi undangan untuk menghadiri majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan ini.

“Insyallah, saya masih mampu lagi, kalau saya tidak keluar bersama-sama rakyat, saya akan menghabiskan membaca di rumah,” kata Dr Mahathir.

Pertandingan paintball tersebut yang akan berlangsung akan berlangsung dari 14 hingga 18 November depan di Pulau Langkawi, Kedah.

Menurut Pengarah Eksekutif Kumpulan Syarikat NAZA Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, penglibatan NAZA World diharap dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan di pulau lagenda dan sekaligus memartabatkan Langkawi sebagai pusat rekreasi antarabangsa sukan ini pada masa depan.

Baca juga: Tips Penjagaan Cirit-birit di bulan Ramadan
Baca juga: Sandwich Grill, Daging Gebu Membuka Selera
Baca juga: Ayam Golek Kotak Tip Top!