Dr Mahathir sedih kematian Mandela, sifatkannya sebagai pemaaf

Dr Mahathir sedih kematian Mandela, sifatkannya sebagai pemaaf

Tun Dr Mahathir Mohamed menyifatkan bekas presiden kulit hitam pertama Afrika Selatan Nelson Mandela (gambar) sebagai seorang yang pemaaf dan hebat serta mempunyai ketabahan dan dedikasi sangat tinggi dalam memperjuangkan keadilan sosial.

Beliau merakamkan takziah di atas kematian Mandela yang dilaporkan pada jam 8.50 malam semalam (waktu Afrika Selatan) akibat penyakit jangkitan paru-paru.

Bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat berkata Mandela merupakan antara pemimpin dunia yang paling dikaguminya.

"Apabila saya ditanya siapakah pemimpin paling dikagumi yang pernah saya kenali, saya tidak akan tergagak-agak menamakan Nelson Mandela," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Pada tahun 1990, Dr Mahathir pernah menyambut Mandela, yang ketika itu merupakan Presiden, dalam lawatan delegasi Afrika Selatan ke Malaysia.

"Beliau tidak pernah menunjukkan sikap dendamnya atau cuba bermusuh kepada mereka yang telah penjarakannya selama 27 tahun tetapi apa yang diperjuangkan tanpa henti ialah perpaduan hak kesamaan antara kaum kulit hitam dan putih," katanya.

Mandela dilaporkan meninggal dunia pada umur 95 tahun di rumahnya di Johannesburg.

Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma, dalam ucapannya disiarkan secara langsung di televisyen, berkata Mandela meninggal dunia di rumahnya dengan aman.

“Beliau kini berehat dengan aman. Negara kita telah kehilangan anak paling hebat. Rakyat kita telah kehilangan seorang bapa," katanya.

Mandela adalah tokoh yang memimpin penentangan terhadap dasar apartheid dan pernah dipenjarakan selama 27 tahun.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan ucapan takziah atas kematian tokoh tersebut melalui laman Twitter mereka. – 6 Disember, 2013.