Advertisement

Dua hakim Mahkamah Rayuan tarik diri, KPN jadi pencelah

Resolving the issues arising from interfaith, interracial marriages

Dua hakim Mahkamah Rayuan menarik diri daripada mendengar permohonan peguam negara dan ketua polis negara untuk mencelah dalam dua rayuan berhubung perintah mengarahkan polis mendapatkan semula anak dalam kes pertikaian hak penjagaan anak pihak berlainan agama.

Hakim Datuk Linton Albert mempengerusikan panel tiga hakim berkata beliau merundingi dua hakim yang bersidang bersama-samanya, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan mereka memutuskan menarik diri daripada mendengar permohonan itu demi kepentingan pengadilan.

"Pengadilan perlu dilihat dilaksanakan dengan sempurna. Mereka (Mohd Zawawi dan Umi Kalthum) menawarkan untuk menarik diri daripada kes ini," katanya.

Susulan itu, beliau menangguhkan pendengaran permohonan itu didengar panel baharu tanpa Mohd Zawawi dan Umi Kalthum dan memerintahkan perkara itu dirujuk untuk pengurusan kes hari ini bagi mendapatkan tarikh pendengaran baharu.

Kemudiannya, Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan 10 September mendengar permohonan itu dan pada tarikh sama bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran bagi rayuan.

Peguam K Shanmuga sebelum itu memaklumkan mahkamah sama ada dua hakim berkenaan berasa selesa mendengar perkara itu kerana mereka terlibat dalam menasihatkan peguam negara pada mesyuarat dikendalikan Pejabat Peguam Negara antara 2007 dan 2009 dalam perbincangan berhubung pembaharuan undang-undang dalam kes antara agama.

Pada masa itu, Mohd Zawawi ialah ketua Bahagian Penasihat Syariah manakala Umi Kalthum ialah ketua Bahagian Sivil di Pejabat Peguam Negara.

Shanmuga mewakili dua ibu beragama Hindu S Deepa dan M Indira Gandhi yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak dengan bekas suami masing-masing yang memeluk Islam.

Deepa dan Indira Gandhi, masing-masing mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi Seremban dan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan polis membantu mengesan bekas suami mereka Izwan Abdullah dan Muhammad Ridhuan Abdullah dan mendapatkan semula anak mereka yang didakwa diambil daripada mereka oleh bekas suami masing-masing.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan menyatakan perkara itu dibawa ke mahkamah hari ini hanya membabitkan permohonan untuk mencelah dan merit rayuan tidak didengar hari ini.

Pada 7 April tahun ini, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan Deepa bagi hak penjagaan anak lelakinya Mithran, 6, dan anak perempuan Sharmila, 9, dan Izwan diberikan hak lawatan mingguan.

Mahkamah juga membenarkan permohonannya untuk membubarkan perkahwinan sivilnya berikutan Izwan atau nama Hindunya N Viran memeluk Islam.

Pasangan itu berkahwin pada Mac 2003. Izwan, yang memeluk Islam pada 2011 turut menukar agama dua anaknya itu tanpa pengetahuan isterinya pada tahun yang sama. Izwan kemudiannya memperoleh perintah hak penjagaan kanak-kanak itu daripada Mahkamah Syariah Seremban.

Pada 21 Mei tahun ini, Deepa memperoleh perintah daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Izwan yang didakwa mengambil Mithran dua hari selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah itu.

Pada 27 Mei tahun ini, Izwan gagal dalam permohonannya bagi mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan kepada Deepa sementara menunggu rayuannya didengar.

Dalam kes Indira Ghandi, bekas suaminya Ridhuan juga masih belum menyerahkan anak perempuan bongsu kepadanya walaupun pada 2010 Mahkamah Tinggi Ipoh memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya.

Ridhuan, yang sebelumnya bernama K Patmanathan, menjaga Prasana Diksa sejak April 2009 ketika anak perempuan mereka itu berusia 11 bulan.

Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada 2009 memberikan hak penjagaan tiga anak mereka iaitu Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana Diksa, 6, kepada Ridhuan selepas beliau menukar agama mereka kepada Islam.

Indira Gandhi membawa kes ke Mahkamah Tinggi Sivil yang pada 11 Mac, 2010, memberikan hak penjagaan tiga anak mereka kepadanya dan Ridhuan diperintah mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.

Pada Julai 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh, dalam membuat keputusan penting, membatalkan sijil penukaran agama tiga anak itu dan memutuskan sijil itu tidak sah dan batal kerana melanggar perlembagaan.

Pada 30 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan Ridhuan menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas beliau berulang kali gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Indira Gandhi juga memperoleh perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Ridhuan.

Bagaimanapun, polis didakwa tidak menangkap Ridhuan atau membantu mencari kanak-kanak perempuan itu, mendorong Indira Gandhi mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah mandamus bagi memaksa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Khalid Abu Bakar mengambil tindakan terhadap perintah dikeluarkan terhadap polis.

Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan esok untuk memutuskan sama ada memberikan kebenaran kepada Indira Gandhi untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Khalid memohon untuk menjadi pencelah dalam usaha untuk menggantung perintah yang mengarahkan polis mendapatkan semula anak.

Izwan dan Ridhuan masing-masing memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung perintah supaya menyerahkan semula anak. Ridhuan juga merayu terhadap perintah menghina mahkamah dikeluarkan terhadapnya.

Peguam Honey Tan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Majlis Peguam manakala peguam Philip Koh bagi Majlis Perundingan Malaysia bagi Agama Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan Tao dan peguam Goh Siu Goh bagi beberapa pertubuhan wanita. – Bernama, 24 Julai, 2014.