Advertisement

EAIC akan menyiasat kematian Dharmendran, kata Ahmad Zahid

Oleh Mohd Farhan Darwis

KAJANG, 31 Mei — Siasatan Jawatankuasa Khas berhubung kes kematian dalam tahanan akan diselarikan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata pihaknya telah berbincang dengan peguam kanan dan bersetuju supaya siasatan berhubung kes-kes kematian dalam tahanan polis dijalankan oleh kedua-dua pihak, dan kementerian itu juga jelasnya tidak akan memihak kepada mana-mana pelaku walaupun ianya melibatkan pegawai penguasa mereka sendiri.

“Ia dijalankan juga, tapi internal inquiri ada juga ... Insya Allah, saya telah berbincang dengan peguam kanan bagi turut membantu, dan apa yang kita lakukan kita tak memihak kepada mereka yang melakukan kesalahan walaupun mereka pegawai kita,” katanya kepada pemberita selepas taklimat lawatan beliau ke Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini diumumkan akan mengetuai panel siasatan khas bagi menyiasat kes kematian dalam tahanan melibatkan N. Dharmendran, 32.

Pembangkang bagaimanapun menolak penubuhan badan penyiasat berkenaan, sebaliknya menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Ahmad Zahid berkata, antara cadangan pihaknya berhubung perkara itu termasuklah pewujudan pusat tahanan berpusat bagi pesalah, dan bukannya ditahan di lokap polis.

“Sebab itu dicadangkan ada tahanan berpusat, ia (pesalah) tidak ditahan di lokap balai polis ... ada cctv, bila ada tuduhan, buktinya ada,” katanya merujuk kepada pusat tahanan berpusat yang akan memisahkan pesalah.

“Kita akan mulakan sesegera yang mungkin,” tambahnya lagi.

Pakatan Rakyat (PR) sebaliknya melihat panel siasatan yang diketuai Khalid itu juga sia-sia dan hanya mengitar semula idea dan konsep sama seperti siasatan kematian A. Kugan ketika dalam tahanan polis pada Januari 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low juga sebelum ini menolak penubuhan IPCMC, sebaliknya menegaskan, mekanisme untuk membuat aduan terhadap polis sudah diwujudkan melalui EAIC.

Low berkata, EAIC, sebuah badan pengawasan bebas terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang juga diwujudkan bagi menyiasat aduan salah laku oleh anggota polis.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, sebelum ini pernah menegur EAIC kerana gagal laksanakan tugas dengan berkesan walaupun kerajaan memperuntukkan RM7 juta setahun sejak 2011 bagi menampung kos pentadbiran dan operasi.

Beliau berkata keupayaan EAIC untuk menyiasat pelbagai kes salah laku boleh dipertikaikan kerana hanya mempunyai 29 perjawatan termasuk seorang pegawai penyiasat berbanding ratusan ribu pegawai dan anggota di 19 agensi penguatkuasaan yang bernaung di bawahnya di seluruh negara.

Abdul Hamid turut dilaporkan berkata, suruhanjaya itu menerima 341 aduan mengenai salah laku membabitkan anggota dan pegawai di 19 agensi penguatkuasa bernaung di bawahnya termasuk empat agensi utama iaitu polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen, sejak ditubuhkan pada 1 April 2011.

Daripada jumlah itu tegasnya, hanya 60 kes diarahkan EAIC supaya dilakukan siasatan menyeluruh, manakala 110 kes ditolak, 149 kes memerlukan siasatan dari awal, 15 kes dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib, sembilan kes diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan empat kes dirujuk kepada pihak lain.

Sehingga akhir tahun lalu, Abdul Hamid berkata, hanya satu kes tindakan tatatertib diambil terhadap anggota penguatkuasa yang disiasat SIAP dalam tempoh lebih dua tahun lalu, manakala dua lagi kes hanya diberikan surat amaran.

EAIC juga jelasnya masih mempunyai 57 aduan atau 97 peratus kes tertunggak, yang mana Abdul Khalid berkata, pada kadar itu, ia akan mengambil masa 38 tahun lagi, semata-mata untuk membersihkan tunggakan kes sedia ada.