Oleh Amin Iskandar
PUTRAJAYA, 23 Julai – Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini dalam sebuah sidang media berkata Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Perkhidmatan Perniagaan telah menambah 14 syarikat baru kedalam bidang perkhidmatan di antara Disember 2011 sehingga kini di dalam program Projek Entry Point (EPP) 2.
Empat belas syarikat ini beroperasi dalam industri perniagaan seperti Minyak & Gas, Perundingan, Logistik, Pelancongan dan Teknologi yang menempatkan perkhidmatan termasuk kewangan & perakaunan, perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar sumber manusia serta perkhidmatan kejuruteraan.
Syarikat yang terlibat adalah AIG, AIA, Chartis, Frost & Sullivan, Ultis Asia Sdn Bhd, Expedia Malaysia Sdn Bhd, Mytelehaus Sdn Shd, Air Products Shared Services Sdn Bhd, Synergycentric Sdn Bhd, SSCS Global (M) Sdn Bhd, Saptek Consulting Sdn Bhd, Datavision21 Learning Technologies Sdn Bhd, Hilti Global IT Asian Compentence Center Sdn Bhd dan DONG Energy IT Malaysia Sdn Bhd.
“Dalam separuh tahun pertama 2012, program EPP2 telah membawa pelaburan asing yeng besar ke dalam Malaysia yang mempunyai potensi untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.
“Syarikat-syarikat ini akan memainkan peranan yang penting dalam membangunkan tenaga mahir Malaysia melalui proses dan sistem bertaraf dunia.
“Contohnya, American International Group (AIG), salah satu syarikat insurans terbesar di dunia, akan melabur RM900 juta di Malaysia bagi perkhidmatan yang akan merangkumi pengurusan data, pengurusan pelayan dan storan, kejuruteraan IT, pemantauan dan sokongan global,” kata Subramaniam (gambar).
Selain itu kata Subramaniam, program EPP2 bagi tahun 2012 akan bertumpu kepada memperkukuhkan langkah yang dilaksanakan tahun lepas iaitu mendorong program transformasi bagi syarikat-syarikat tempatan dan menarik syarikat multinasional bagi meningkatkan pelaburan asing.


