Oleh Thanusya Shanmuganathan
KUALA LUMPUR, 7 Julai — Dr Faizal Musa atau dikenali sebagai 'Faisal Tehrani' menentang cadangan mengharamkan bukunya, 'Perempuan Nan Bercinta'.
"Saya tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri, dan tidak dihubungi atau dibantu oleh mana-mana persatuan penulis atau badan sastera yang sepatutnya membantu saya.
"Jika Kumpulan Sastera Kavyan sedia membantu saya, saya gembira untuk menerimanya", kata novelis itu dalam persidangan yang dipengerusikan oleh Kavyan berkenaan pengharaman bukunya.
Faisal Tehrani menambah lagi, Perdana Menteri (PM) menjamin kebebasan menulis di Malaysia.
Dia memberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan novel 'Perempuan Nan Bercinta' yang dikhabarkan bakal diharamkan oleh JAKIM.
"Pada tahun 2008 bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin telah menghantar surat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengharamkan novel saya 'Ketupat Cinta'.
Tetapi selepas ke Oxford dia sudah berubah dan tidak begitu keras pandangannya.
"Saya juga pernah mengalami masalah apabila drama TV saya 'Pelangi Ada Tujuh Warna' yang diharamkan kerana menonjolkan perkahwinan 'misyar'.
Bagaimanapun pengharaman itu ditarik balik dan diberi rating 'U' (untuk tontonan umum) pada 4 Februari 2012.
"Sebuah lagi novel 'Sebongkah Batu di Kuala Berang' telah disenaraikan untuk diharamkan tetapi tidak diberi surat amaran lagi.
"Dengan jaminan dari Perdana Menteri, saya rasa tidak ada masalah untuk buku ini. Saya akan terus menulis pada masa akan datang", kata Faisal Tehrani lagi.
Kavyan menulis artikel tentang buku 'Perempuan Nan Bercinta' di The Malaysian Insider baru-baru ini.


