1 Okt – Barisan pelakon hebat digandingkan di dalam filem terbaru terbitan "Grand Brilliance". Memilih tajuk "Ngorat" sebagai sandaran sememangnya memberikan keinginan untuk pergi melihat sendiri keunikan filem ini.
Menampilkan Erra Fazira sebagai pelakon utama dan juga Iedil Putra pelakon baru yang semakin menempa nama di dalam industri hiburan tanah air.
Turut membintangi filem komedi ini adalah hero Malaya, Aaron Aziz yang nyata tampil berbeza sebagai Arjuna Kasih.
Menurut Tengku Iesta Tengku Alaudin selaku penerbit berkata, filem ini berkait rapat dengan realiti kehidupan kebanyakan lelaki di luar sana yang buntu mencari cinta.
"Kami ingin mencipta watak yang berkait rapat dengan realiti kehidupan kebanyakan lelaki di luar sana yang buntu apabila ingin memulakan langkah dalam percintaan," ujar Tengku Iesta Tengku pada sidang media selepas majlis pra tonton "Ngorat" di Cathay Cineplex e@Curve, Damansara, Jumaat lalu.
Tambah Tengku Iesta lagi, dengan adanya filem ini penonton dapat bertukar selera dengan filem yang berbeza genrenya dengan filem-filem lain yang banyak dihasilkan tahun ini.
Filem ini mengisahkan tentang seorang jejaka Ijam (Iedil Putra) yang masih solo dan kurang bernasib baik dalam mencari pasangan kekasih sehinggalah dia bertemu dengan seorang guru cinta, Arjuna Kasih (Aaron Aziz) yang menjanjikannya boleh bertemu jodoh dalam 30 hari sekiranya Ijam menurut petua-petua yang diberikannya.
Namun perkara sebaliknya berlaku apabila petua-petua yang diberikan tidak menunjukkan hasil, malah membahayakan persahabatan Azoe (Nas T) dengan teman baiknya, Keyra (Erra Fazira). Ijam perlu memilih samada untuk terus mendengar petua Arjuna Kasih atau persahabatannya dengan Keyra akan putus buat selamanya.
Filem arahan pengarah terkenal Prof. Madya A.Razak Mohaideen ini bakal menemui penonton bermula 4 Oktober nanti.


