Advertisement

Galeri Bazaar Ramadan: Shah Alam

Bazaar Ramadan Shah Alam yang terbesar terletak di kawasan Stadium Shah Alam, berhampiran pasar besar Tesco dan juga Giant. Maka tidak hairanlah jika kawasan tersebut dikerumuni ramai orang. Bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan juga pengunjung yang datang membeli, anda dinasihatkan untuk datang lebih awal dalam antara jam 4.30 hingga 5 petang. Ini kerana selepas jam 6, anda memang bakal menghadapi kesukaran mencari tempat meletak kereta dan menjadi himpitan orang ramai. Ia semestinya bukan suatu yang menyeronokkan untuk dilalui sebelum berbuka puasa.

Namun di sebalik hal-hal yang tidak disenangi seperti itu, anda boleh menikmati pelbagai juadah yang disediakan di bazaar tersebut. Apa yang menarik tentang baazar Stadium Shah Alam adalah variasi juadah unik yang enak-enak belaka dan jarang boleh didapati di baazar lain.



Walaupun mudah didapati di restoran dan kedai Arab, namun kita jarang menemui Barbican di baazar Ramadan. Jadi, apabila terlihat akan botol-botol Barbican yang wujud di bazaar, kami berasa sedikit teruja. Lebih-lebih lagi apabila Barbican tersebut dijual dengan harga semurah RM3.50 sahaja.



Bau ayam rangka yang dimasak garing sudah pasti membuatkan perut berkeroncong. Jangan terpedaya dengan perkataan 'rangka' kerana isinya sungguh mengenyangkan. Lebih sedap jika dicicah dengan sos cili.



Memang gerun bila melihat daging kambing dipanggang sebegitu rupa. Namun, daging ini memang enak dinikmati dan dijual dengan RM13 satu set. Ianya turut dibuat sup tulang.



Apa yang membezakan ayam percik Kelantan dan ayam percik yang biasa dijual di semua baazar adalah sosnya yang berwarna putih. Jika ramai yang tertanya-tanya, sosnya berwarna putih kerana ia tidak dicampurkan dengan cili merah. Ianya memang sedap kerana lemak santan yang ada dan ayam dipanggang garing.



Berdasarkan pemerhatian kami, kebanyakan gerai di baazar Stadium Shah Alam ini menjual ayam yang dimasak dengan pelbagai jenis cara. Selain ayam percik dan ayam rangka, ayam madu yang manis rasanya juga boleh didapati. Boleh dikatakan sekali pandang, kelihatan seperti ayam percik pun ada!



Kuih akok merupakan kuih tradisional negeri Kelantan. Dengan hanya RM2, anda boleh merasai lima biji kuih akok pandan ini yang memang manis.



Minuman yang berwarna biru muda ini pasti membuatkan anda terasa pelik. Ia sebenarnya dibuat daripada campuran Pepsi Blue dan juga aiskrim vanila, maka itulah sebabnya berwarna demikian. Hanya dengan harga RM2, minuman itu dikatakan berasa sama seperti aiskrim Paddlepop Rainbow. Sedap rasanya jika diminum sejuk ketika berbuka puasa.



Kuih cakoi sangatlah manis apabila dicicah madu, gula, ataupun sos karamel. Malah kebiasaannya ada yang mencicah dengan sos pandan atau sambal. Agak mengecewakan apabila kuih ini jarang ditemui di kebanyakan gerai berbanding dengan zaman dulu.



Memang tidak sah jika nasi tomato tidak dijual di mana-mana baazar Ramadan. Berlaukkan ayam masak merah dan sayur, ianya sudah cukup dibuat juadah berbuka puasa yang sungguh mengenyangkan.



Gerai Papa John atau nama asalnya roti John ini memang penuh dengan pelanggan yang beratur. Antaranya adalah jenis Papa John yang dijual adalah ayam/daging yang dicampur keju, dengan harga RM5.50 sahaja. Ayam, daging lembu, kambing atau makanan laut adalah antara yang boleh menjadi pilihan anda!



Antara minuman yang boleh didapati di baazar tersebut adalah lai chi kang. Pembeli boleh memilih pelbagai bahan seperti buah laici, cincau, fungus, dan sebagainya untuk dicampurkan ke dalam minuman yang menyejukkan badan ini.



Selain minuman tempatan yang biasa didapati di baazar, jus yang diimport dari negara Timur Tengah seperti Iran dan Arab Saudi juga turut dijual. Rasanya yang sangat manis dapat melegakan tekak yang kering ketika berbuka.



Ada segelintir orang berkata, kalau sampai ke Morib tetapi tak membeli sotongnya, memang rugi. Namun,kini, sotong bakar Morib sudah boleh didapati di banyak baazar dengan sosnya yang membuatkan sesiapa terliur melihatnya.



Ada segelintir orang berkata, kalau sampai ke Morib tetapi tak membeli sotongnya, memang rugi. Namun,kini, sotong bakar Morib sudah boleh didapati di banyak baazar dengan sosnya yang membuatkan sesiapa terliur melihatnya.



Selalunya, roti bom boleh didapati di kebanyakan gerai atau restoran Mamak. Namun, beberapa gerai di baazar Shah Alam turut menjual roti bom sebagai juadah berbuka puasa. Sedap dimakan bersama gula. kari atau kuah dalca.



Makanan tradisi Jawa ini dijual pada harga RM2.50 sahaja. Isi yang banyak dengan sos pekat sedikit pedas ini sedap dimakan bersama nasi impit.