6 Sept – Jika anda sering melewati laman Youtube, maka anda pasti kenal akan artis sensasi Korea yang terkini, Psy. Video "Gangnam Style" yang mempamerkan tarian aneh bersertakan lagu yang melekat di ingatan berjaya menjadi bualan ramai, lantas memperkenalkan orang ramai kepada dunia K-Pop.
Hasil daripada populariti yang melonjak dengan terdapatnya lebih daripada 100 juta tontonan, rapper tersebut akhirnya menerima tawaran daripada Scooter Braun, iaitu pengurus Justin Bieber untuk bernaung di bawah Island Def Jam Recordings, iaitu sebuah label yang turut mengikat nama-nama besar seperti Bieber, Jennifer Lopez, Carly Rae Jepsen dan Mariah Carey.
Seperti yang dilaporkan oleh The Korea Times, YG Entertainment memberitahu bahawa kontrak yang baru sahaja dipersetujui kedua-dua belah pihak telah memberikan hak eksklusif kepada syarikat rakaman tersebut dalam menguruskan Psy.
Namun, sebarang berita lanjut mengenai keluaran album terbaru Psy masih belum mendapat kepastian lagi.
Yang pasti, Psy bakal menghadirkan diri ke majlis MTV Video Music Awards 2012 yang bertempat di Staples Center, Los Angeles pada 6 September.


