Oleh Lee Wei Lian
PUCHONG, 18 Julai — George Kent Berhad, syarikat yang dituduh mendapat keistimewaan dari kerajaan untuk tender berbillion ringgit untuk projek penambahan laluan LRT Ampang, menafikan bahawa mereka sudah menang dalam bidaan tersebut.
Isu ini bermula apabila Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berulang-ulang kali mengeluarkan dakwaan bahawa Perdana Menteri (PM) telah campur tangan dalam bidaan tender dan menganugerahkan kontrak itu kepada George Kent, yang beliau dakwa sebagai “kawan rapat” PM walaupun mendapat markah terendah dari sudut teknikal dan penilaian komersil dalam projek.
“Projek LRT ini masih dalam penilaian, kami mungkin dapat, mungkin tidak,” kata pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock, kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan mereka di sini.
Tan juga menolak untuk memberikan komen tentang keadaan politik yang menyelubungi tender tersebut kerana mungkin merosakkan peluang syarikatnya.
“Kami adalah syarikat perniagaan. Kami tidak bercakap tentang politik. Saya bukan ahli politik. Tunggu sahaja, bila sudah dianugerahkan, kami akan beri kenyataan.”
Rafizi beberapa minggu lalu terus menekan PM berkenaan tuduhan beliau campur tangan dalam pembahagian tender LRT Ampang. Rafizi mendakwa bahawa bidaan George Kent lebih mahal dari yang lain dan syarikat tersebut hanya tahu membuat meter air dan tidak berpengalaman untuk membina laluan kereta api.
Dalam sidang media terbaru, Rafizi menunjukkan salinan dari apa yang dikatakan surat kebenaran dari Menteri Kewangan yang bertarikh 25 Jun 2012 untuk melantik George Kent bagi projek itu yang berjumlah RM1.18 billion, dikatakan RM167 juta lebih mahal dari yang lain.
Rafizi juga menunjukkan salinan dokumen yang dikatakan dokumen rasmi kepada media tentang kebenaran Jawatankuasa Pemilihan Kementerian Kewangan yang bermesyuarat pada 25 Januari untuk menganugerahkan projek tersebut kepada Balfour-Beatty-Invensys Consortium yang bernilai RM1.01 billion.
PM Datuk Seri Najib Razak mempengerusikan jawatankuasa itu kerana beliau juga adalah Menteri Kewangan.
Menurut laporan tahunan dari syarikat tersebut, pemegang saham terbesar George Kent adalah Tan dan isterinya yang telah bersama memiliki 70 peratus saham dalam syarikat.
Laporan tahunan George Kent itu juga berkata mereka adalah syarikat kejuruteraan yang pakar dalam bidang pembinaan infrastruktur air.
Laporan itu juga menyatakan untuk memanjangkan lagi laluan keretapi dan memantapkan teknologi hijau dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh pentadbiran Najib.
Untuk tahun kewangan 2012 yang berakhir pada 31 Januari, syarikat itu memperoleh keuntungan RM19.3 juta dan pendapatan sebanyak RM152.2 juta.


