Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Ketua Pemuda Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Kedah, Tan Keng Liang berkata, perbezaan tema Hari Kebangsaan antara kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah dengan negeri PR yang lain adalah petanda bahawa pakatan pembangkang itu diambang perpecahan kerana tidak dapat bersatu dalam perkara seperti ini.
“Mereka bukan sahaja berbeza dengan tema Hari Kebangsaan di peringkat persekutuan, mereka juga berbeza dengan tema dengan negeri-negeri PR yang lain.
“Ini seolah-olah mahu menjadikan Kedah seperti sebuah negara yang lain kerana melakukannya berasingan, dan ini tidak seharusnya berlaku,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider petang tadi.
Menurut beliau, tema hari kebangsaan seharusnya menyatupadukan rakyat Malaysia, bukan memisahkan mereka dengan ideologi mereka.
Tema hari kebangsaan di negeri Kedah ialah “55 Tahun Merdeka Terus Berbakti”, manakala tema hari kebangsaan di negeri-negeri yang diperintah PR ialah “Sebangsa, Senegara, Sejiwa”.
“Kita hormati keputusan Sekretariat PR yang mengumumkan tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ pada 1 Ogos lalu. Namun pelancaran tema Kedah dibuat lebih awal dan tidak wajar untuk menarik balik,” kata exco penerangan negeri Kedah, Abdul Ghani Ahmad.
Abd Ghani percaya tidak timbul pertikaian dalam penggunaan tema itu kerana hasrat asal adalah untuk memilih tema berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) iaitu “Janji Ditepati”.
“Jadi ini tidak universal dan menunjukkan sikap tidak mahu memupuk semangat bersama dalam satu negara,” kata Tan.
Menurut beliau tema hari kebangsaan peringkat persekutuan “Janji Ditepati” tidak mempunyai masalah kerana seharusnya janji haruslah ditepati untuk menjadi sebuah negara yang baik.
“Perbezaan pendapat adalah sesuatu yang biasa, tetapi pada akhirnya, kita haruslah bersama dalam satu negara yang bersatu padu.
“Tetapi kalau tema antara mereka sendiri pun berbeza, saya rasa ini adalah satu masalah.
“Ini menunjukkan kerajaan PAS Kedah kini sudah terdesak untuk memastikan sokongan mereka tidak tergugat di negeri Kedah.
“Saya rasa kerajaan Kedah gagal untuk memahami erti sebenar sambutan hari merdeka,” kata Tan lagi.


