Google Tu Local ke?

Tiap hari kita menggunakan internet, kalau kita hendak mencari sesuatu — apa kita pakai? Google. Kalau email? Google Mail. Kalau nak cari kedai yang kita tak jumpa? Google Maps. Kita tidak boleh lari dari menggunakan aplikasi Google yang berada di dalam talian. Walaubagaimanapun, kita perlu menanya — Google yang kita pakai ini sudah disetempatkan untuk penggunaan pengguna di Malaysia?

Kami telah menanya soalan ini kepada pihak Google, yang mempunyai pejabat mereka tersendiri di sini. Jawapannya ialah Ya, banyak aplikasi Google sudah disetempatkan untuk pengguna di sini. Google juga mula menanamkan sokongan tempatan untuk produk baru (dan lama) menjadikan ianya kini lebih mudah untuk mencari kedai mamak kegemaran anda, menerima terjemahan automatik untuk perkataan 'makan' pada lebih 57 bahasa berbeza, dan mengikuti pelbagai berita semasa berkaitan Malaysia.

Dibawah ini adalah sebahagian daripada senarai aplikasi yang telah di-Malaysia-kan:

1. Google News

Google News membawakan berita secara berbeza, dimana para pengguna boleh memilih dan membuat tetapan mengikut pilihan mereka tersendiri, dan daripada pelbagai perspektif berbeza. Google News menyediakan berita terkini kepada lebih 17.5 juta pengguna internet Malaysia, dengan berita daripada lebih 4,500 sumber berita berbahasa Inggeris, termasuk daripada media Malaysia. Ia juga menyertakan pautan kepada pelbagai artikel lain pada setiap berita, membolehkan anda membuat pilihan mengenai apa yang anda ingin baca, dan daripada media mana dengan mudah. Google News juga menyatukan setiap berita yang lebih kurang sama, dan memperlihatkannya mengikut apa yang ditetapkan dan diminati oleh para pengguna.

2. Google Maps

Gerak dari A to B (ataupun C!) dimana sahaja di Malaysia, kenal pasti tempat makan nasi lemak terbaik di bandar anda, dan cari jalan yang kurang digunakan ramai di kejiranan anda melalui Google Maps. Maps membawakan teknologu pemetaan dan informasi berkaitan perniagaan dalam bentuk yang mesra pengguna - dimana pengguna boleh ketahui lokasi sesuatu perniagaan, cara hubungi mereka, cara memandu ke sana, dan juga imej satelit - pada telefon bimbit ataupun PC anda. ambahan lagi, Google Maps juga menyediakan peluang untuk para pengguna, pembangun dan perniagaan di Malaysia berkongsi peta mereka tersendiri dan pengetahuan bersama dengannya. Google Maps memaparkan kandungan yang dibangunkan pengguna dalam bahasa Malaysia, Cina, Inggeris, Tamil dan banyak lagi, supaya para pengguna tempatan dan pelawat boleh menyumbang dari segi teks, gambar dan juga video.

Google juga pada masa yang sama telah memulakan rakaman lokasi-lokasi unik di seluruh Malaysia untuk disertakan pada Google Street View, salah satu fungsi Google Maps yang membolehkan para pengguna untuk melihat dan navigasi dalam bentuk 360-darjah dan melihat gambar persekitarannya dengan lebih dekat.

3. Keputusan carian diterjemah secara automatik ke Bahasa Malaysia - baru !

Anda kini akan melihat halaman berbahasa Inggeris yang berkaitan pada hasil keputusan diterjemahkan apabila anda membuat carian dalam lebih 14 bahasa, termasuk Bahasa Malaysia. Sebagai contoh, sekiranya anda menggunakan bahasa utama sebagai Bahasa Malaysia, dan ingin mencari maklumat berkaitan 'diet seimbang' - Google akan mencari pelbagai maklumat berkaitan dalam Bahasa Inggeris, dimana sekiranya anda klik pada pautan tajuk, ianya akan membawakan kepada halaman sebenar, sementara pautan dibahagian bawahnya akan membawa pengguna kepada halaman yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia. Ini memudahkan anda mendapatkan maklumat dengan mudah, tanpa mengira bahasa.

4. Carian suara dalam Bahasa Malaysia

Carian suara kini didatangkan untuk PC dan juga telefon bimbit. Melaluinya, anda tidak lagi perlu menaip, sebaliknya boleh bercakap untuk membuat carian, dan ianya akan memberikan jawapan untuk segala carian anda. Segalanya disokong melalui carian suara, termasuk cuaca, masa tayangan filem, dan apa sahaja yang anda boleh ucapkan tetapi tidak mengetahui ejaannya, seperti resipi untuk bolognese mozzarella - sekiranya anda boleh ucapkannya, maka anda boleh membuat cariannya. Carian suara juga amat berguna apabila anda perlu melakukan carian perkataan yang amat panjang, dimana anda hanya perlu membuka mulut dan membacakannya sahaja. Ia juga amat berguna ketika anda berada di dapur, garaj, atau dimana sahaja ketika tangan anda melakukan kerja yang lain. Tambahan lagi, lebih ramai rakyat Malaysia menggunakan sokongan carian suara, teknologi pengecaman suara akan menjadi lebih baik dan baik lagi, dengan kejituan yang ditambah baik, tanpa perlu para pengguna untuk memuat-turun sebarag perisian atau kemaskini.

5. Google Translate

Google Translate kini boleh digunakan oleh para pengguna web dan juga Android, dan kini ia menyediakan sokongan terjemahan untuk perkataan, ayat, dan juga halaman web dalam lebih 58 bahasa berbeza, termasuk Bahasa Malaysia. Selain daripada menyediakan perkataan yang sesuai dalam bahasa Sepanyol untuk 'makan' ketika anda sedang bercuti, Google Translate juga menjadi lebih baik setiap kali anda menggunakannya. Sebagai contoh, setiap kali anda lihat penterjemahan yang diperlihatkan tidak tepat, Google Translate akan menyediakan keputusan alternatif untuknya. Untuk melihatnya, para pengguna hanya perlu klik pada frasa yang dikehendaki. Dan apabila anda klik padanya, Google Translate akan mempelajari daripada anda, dan meningkatkan perkhidmatan mereka dari semasa ke semasa. Anda juga boleh menggunakan kata kunci dalam Bahasa Malaysia untuk mencari halaman web yang menggunakan lebih 57 bahasa berbeza, dan melihat keputusan carian secara automatik dalam bahasa Malaysia. Pada masa yang sama, bagi pembangun web, Google turut sama menyediakan sebuah widget khas, membolehkan laman web mereka yang berbahasa Malaysia dilihat dalam lebih 57 bahasa yang lain dengan mudah.

6. Chrome

Ianya hanya tiga tahun sejak Google melancarkan pelayar web sumber terbuka mereka, dan menurut StatCounter pada Oktober 2011 yang lepas, Chrome kini merupakan pelayar web No. 1 di Malaysia dengan mempunyai lebih 38.7% pegangan pasaran tempatan, dan merupakan pelayar web ketiga popular didunia (25%). Dibangunkan dengan antaramuka yang mudah digunakan, ribuan aplikasi dan extension , Chrome menjalankan dan memaparkan web dengan lebih pantas, ringkas, dan keselamatan yang dipertingkatkan dari hari ke hari.Fungsi baru juga menyertakan antaramuka tetapan yang membolehkan anda mencari tetapan yang diinginkan dengan lebih pantas, serta didatangkan dengan kotak carian yang diintegrasikan, omnibox yang dipertingkatkan untuk membawakan cadangan untuk laman web dan juga URL, Chrome Instant, dimana anda boleh mengaktifkannya untuk melihat kandungan berkaitan pada tetingkap pelayar ketika anda sedang menaip, sebelum anda menekan butang Enter, dan juga sokongan WebGL yang mana membawakan sokongan grafik 3D berasaskan perkakasan pada pelayar web tanpa perlu sebarang perisian tambahan.

7. Docs

Docs adalah aplikasi yang membolehkan anda membuat dan mengubah pelbagai jenis dokumen (sama ada ianya adalah dokumen, spreadsheet, lukisan, ataupun fail persembahan) menggunakannya secara masa-nyata bersama yang lain, dan menyimpan fail dan dokumen anda - semuanya atas-talian dan secara percuma. Dengan hanya menggunakan sambungan internet, anda boleh mengakses, memuat-naik, ataupun memuat-turun dokumen anda di mana-mana komputer, diseluruh dunia (selain beberapa perkara yang anda boleh lakukan tanpa sambungan internet). Anda juga boleh menambah dan mengubah format dokumen anda, sembang dengan rakan yang lain, lihat senarai perubahan pada dokumen, melihat sebarang imej atau video, menterjemah dokumen ke bahasa yang lain, menyertakan imej dan gambar ke dalam fail persembahan, dan pada masa yang sama berkongsi dengan yang lain dokumen yang anda bangunkan. Pengguna juga boleh memuat-turun lukisan yang dibuat melalui Google Docs dalam bentuk PNG, JPEG, SVG atau PDF dan sertakannya dalam dokumen, spreadsheet atau fail persembahan anda.

8. Groups

Berinteraksi dengan yang lain melalui Google Groups, salah satu perkhidmatan Google yang menyokong perbincangan berkumpulan berdasarkan kepada minat. Jadi, jika anda meminati pembuatan ketupat, suka berkongsi bagaimana perasaan anda ketika membuat kek atau biskut, anda boleh membuat dan memulakannya di Google Groups. Anda juga boleh mencari kumpulan perbincangan yang menarik minat anda, dan menyertai perbincangan dalam bentuk komunikasi tersusun sama ada dalam bentuk antaramuka emel ataupun web.

9. Code

Sekiranya anda merupakan seorang pembangun, Google Code adalah salah satu perkara yang menarik untuk anda. Code adalah aplikasi pembangun daripada Google, menyediakan pelbagai sumber teknikal, API dan juga maklumat pembangunan dalam menggunakannya - termasuk kumpulan perbincangan dan juga blog untuk pembangun menggunakan produk pembangunan Google. API disediakan untuk hampir kesemua produk Google, termasuk Google Maps, YouTube, Google Apps dan lain-lain.

10. Scholar

Google Scholar menyediakan cara yang mudah untuk membuat carian meluas untuk sastera sarjana. Daripada hanya satu lokasi, para pengguna boleh membuat carian untuk pelbagai sumber termasuk artikel, thesis, buku, abstrak dan pandangan mahkamah, pengeluar akademik, kumpulan professional, universiti dan laman-laman web yang lain. Google Scholar membantu anda untuk mencari pelbagai kerja berkaitan dengan kajian sarjana, yang mana termasuk kerja-kerja dan kajian daripada penulis dan para akademik dari Malaysia.