Graduan DPLI GSTT dipanggil temuduga hujung bulan ini

Keputusan UPSR 2013 terbaik dalam tempoh empat tahun

Keresahan graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) pada pertengahan tahun ini terurai selepas Kementerian Pendidikan menjawab segala kontroversi melanda kumpulan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, berkata graduan DPLI GSTT itu akan dipanggil temuduga bermula hujung bulan ini dan dijangka isu penempatan ke sekolah masing-masing akan dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

"Kita sudah mengenalpasti jumlah graduan DPLI GSTT dan pihak kami menyalurkan maklumat itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk diproses ke peringkat pengambilan dan seterusnya dipanggil untuk ditemuduga yang akan dikelola oleh SPP pada hujung bulan ini.

"Kementerian berharap surat tawaran akan dapat diberikan sebelum Disember. Kita minta SPP untuk gemblengkan tenaga tetapi itu semua bergantung kepada kapasiti. Jika semuanya berjalan lancar, isu penempatan graduan itu dapat diselesaikan sebelum hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.

The Malaysian Insider melaporkan pada Jumaat mengenai graduan berkenaan yang masih belum mendapat pejelasan Kementerian Pendidikan mengenai penempatan semula tempat mengajar terutama apabila ada antara mereka yang berusia 35 tahun pada tahun ini dikhuatiri tidak mendapat skim pencen kerajaan ekoran kurang tahun perkhidmatan.

Apabila ditanya adakah penempatan guru berkenaan mengikut alamat pasangan suami atau isteri masing-masing, beliau berkata: “Lokasi penempatan sedang dilihat semula kerana ia adalah satu proses berterusan dan pihak kami akan mencuba sebaik mungkin."

Sementara itu, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh meminta graduan berkenaan bersabar dan menunggu giliran untuk dipanggil kerana Kementerian Pendidikan kini dalam proses menilai semula graduan dan mereka yang lama menunggu untuk ditempatkan di sekolah kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa ditemui media merasmikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) berkata, masalah penempatan graduan DPLI GSTT adalah disebabkan guru yang sepatutnya berpencen masih belum ditamatkan perkhidmatan mengajar di sekolah kerajaan.

Katanya, masalah itu mengakibatkan perancangan Kementerian Pendidikan untuk menyerap kemasukan graduan berkenaan tergendala.

“Polisi kerajaan membenarkan seorang guru berkhidmat sehingga 60 tahun tetapi masalah DPLI GSTT ini, kita akan lihat semula dan nama graduan berkenaan masih ada dalam sistem kementerian,” katanya selaku orang nombor satu di Kementerian Pendidikan yang masih belum dapat memberi kata putus berhubung masalah ini.

Antara isu yang menjadi perhatian graduan DPLI GSTT ini ialah pengangguran serta terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi dan bebanan hutang.

Mereka juga bimbang jika keputusan penempatan nanti terpaksa ditempatkan di Sabah atau Sarawak yang terpaksa berjauhan dengan suami dan keluarga.

“Kami juga terpaksa sentiasa berjaga-jaga menunggu panggilan kementerian menyebabkan kebanyakan masih belum bekerja. Apa yang dikhuatiri ialah tempoh bekerja kami yang singkat nanti akan memberi masalah lain kepada syarikat terbabit,” kata seorang graduan.

Selain itu, kebanjiran graduan jurusan Perdagangan yang dikhuatiri gagal mendapat penempatan di sekolah menengah kerajaan ekoran subjek itu adalah mata pelajaran elektif di sekolah.

Seorang graduan bidang sama yang mahu dikenali sebagai Shikin, 31, berkata kelewatan tersebut menyebabkan ramai yang menuduh kerajaan kini berdepan krisis kewangan.

Katanya, kumpulan graduan itu tidak wajar dipinggirkan kerana mereka mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya dua tahun malah ada di antara mereka pernah berkhidmat sebagai GSTT selama lima tahun.

Ahli Parlimen Serdang dari parti DAP, Dr Ong Kian Ming turut bersimpati dengan graduan tersebut sambil menyifatkan graduan DPLI GSTT yang masih belum diberikan tempat mengajar adalah pembaziran dana kerajaan.

Katanya, graduan diberikan elaun RM1,300 sebulan selama 18 bulan menjadi pembaziran dana kerajaan apabila mereka masih belum mendapat tempat di sekolah kerajaan.

Beliau berkata, disebabkan penangguhan ini, ramai graduan yang masih belum mendapat pekerjaan dan tertunggu-tunggu panggilan oleh Kementerian Pendidikan. - 17 September, 2013.