Gulai Telur Itik Bermangga Muda

Resipi Ramadhan sumbangan Chef Ismail, dipetik dari ‘Kuisin Warisan Melayu’

Kredit: Restoran Rebung, Bangsar, Kuala Lumpur

Bahan-Bahan


Pati santan

250ml, diperah daripada 1 biji kelapa parut

Air

100ml

Pes cili padi

1 sudu besar

Pes kunyit hidup

1 sudu teh

Bawang merah

2 ulas, dikupas dan dihiris nipis-nipis

Bawang putih

1 ulas, dikupas dan dihiris nipis-nipis

Asam gelugur

1 keping

Telur itik

4 biji

Mangga muda

2 biji, dikupas, dibuang biji dan dipotong-potong

Cili hijau

2 tangkai, dibelah dua

Garam secukup rasa


Cara

Bubuh pati santan, air, pes cili padi, pes kunyit hidup, hirisan bawang merah dan bawang putih serta asam gelugur ke dalam periuk. Jerang di atas api besar sehingga mendidih, kacau selalu agar santan tidak pecah.

Kecilkan api dan renihkan selama 5 minit. Padamkan api dan pecahkan telur sebiji demi sebiji dalam kuah yang merenih. Biarkan telur tiga suku masak sahaja.

Hidupkan api dan masukkan potongan mangga muda, kacau dan masak sehingga lembut. Tambah cili hijau dan perasakan dengan garam secukupnya.

Padamkan api dan hidangkan.

Catatan Chef

Untuk mengelakkan gulai pecah minyak, masak gulai dengan api yang kecil. Anda juga hendaklah selalu mencedok dan menuang semula gulai ke bahagian tengah periuk dengan menggunakan senduk ketika memasaknya.