Advertisement

Guru besar pertahan guna bilik persalinan untuk makan minum

Guru besar SK Seri Pristana di Sungai Buloh hari ini mengakui murid Islam dan bukan Islam menggunakan bilik persalinan sejak Mac lalu untuk menikmati makanan dan minuman ketika masa rehat.

Mohd Nasir Mohd Noor berkata, pertambahan pendaftaran murid dan kawasan kantin yang sempit mendorong pentadbir sekolah berbuat demikian.

Beliau tidak pernah mengabai muridnya apabila berbuat demikian, sebaliknya menegaskan bilik persalinan itu bersih dan kedudukannya paling hampir dengan kantin.

"Saya bukan mahu mendera murid saya," katanya dipetik The Star, hari ini yang melaporkan demikian ketika ditemui di sekolah berkenaan, semalam.

Mohd Nasir juga kelihatan tertekan berikutan pelbagai pegawai dari jabatan kerajaan mempertikai tindakan mereka itu.

Malah, guru besar itu dilihat kerap menjawab panggilan telefon bimbit selang beberapa minit tetapi menyatakan pihaknya tidak menerima aduan daripada ibu bapa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kantin itu ditutup sejak beberapa minggu lalu untuk proses mengubah suai membabitkan pintu kaca yang siap minggu lalu dan sepatutnya dibuka pada Isnin.

“Saya tidak tahu mengapa kantin masih ditutup. Saya tidak berada di situ kerana menghadiri mesyuarat pada hari berkenaan," katanya.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hussein Mohd Ariff pula berkata, ibu bapa murid menyedari situasi itu lantaran di dibawa dalam mesyuarat tetapi mengakui ia bukan penyelesaian terbaik tetapi keputusan bukan di tangannya.

Mengikut pihak pentadbiran, ada 28 murid bukan Islam di sekolah berkenaan.

Kantin yang terletak bertentangan bilik persalinan dibuka semula kepada murid semalam atas arahan Kementerian Pendidikan, lapor akhbar berkenaan.