KEPALA BATAS, 20 Okt (Bernama) -- Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM)
Tun Jeanne Abdullah menggesa guru berusaha melahirkan pelajar cemerlang
daripada kalangan pelajar yang lemah dalam pelajaran dan tidak minat belajar.
Beliau berkata selain ibu bapa, guru mempunyai peranan penting dalam
mengubah sikap dan minda anak-anak untuk pembentukan insan cemerlang.
"Bagi tahun persekolahan 2013, tumpu pada pelajar paling lemah dalam kelas
anda atau pelajar yang tidak minat belajar dan jadikan mereka pelajar yang lebih
baik...saya percaya kita semua boleh lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis pembelajaran sepanjang
hayat OUM ''Learning Is Fun'' di Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga, di
sini hari ini. Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan
Naib Canselor OUM Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.
''Learning Is Fun'' merupakan program yang dianjurkan oleh OUM bagi
mendekatkan pelajar di kawasan luar bandar dengan bidang sains, matematik dan
bahasa Inggeris serta teknik pembelajaran yang menarik bagi mata pelajaran itu.
-- LAGI
JEANNE-GURU 2 (AKHIR) KEPALA BATAS
Beliau juga menasihati pelajar agar tidak malu untuk menggunakan bahasa
Inggeris dalam komunikasi harian walaupun mereka kurang mahir dalam penguasaan
bahasa antarabangsa itu.
"Walaupun pada mulanya susah tetapi jika selalu digunakan lama-lama kita
akan mahir, kita mungkin akan ketinggalan jika tidak mampu menguasai bahasa
Inggeris, ke mana pun kita pergi bahasa Inggeris tetap diperlukan," katanya.
Selain itu beliau berharap ibu bapa meluangkan masa mendengar luahan
perasaan anak mereka.
"Kadang kala sebagai orang dewasa kita juga lupa yang kita tidak sentiasa
betul, fahamilah anak-anak kita, saya yakin dengan hubungan keluarga yang erat,
mereka bukan sahaja akan hormat malah tidak akan takut untuk berkongsi masalah
atau meminta nasihat," katanya.
-- BERNAMA
LIB LIB RHM


