Harga gula dan tepung akan naik?

Pertengahan September lalu, Menteri Pedagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Hassan Malik memberi jaminan harga gula dan tepung tidak akan naik.

Namun, hari ini menteri yang sama memberikan bayangan, kerajaan akan menurunkan subsidi untuk kedua-dua barangan keperluan utama itu.

Penjelasan terperincinya mengenainya akan dimaklumkan melalui pembentangan Bajet 2014 25 Oktober nanti, lapor akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times hari ini.

"Tujuan kerajaan adalah untuk memperkukuhkan ekonomi. Kami tidak mahu jadi seperti Amerika Syarikat, di mana ekonominya telah tertutup," katanya selepas memberikan penjelasan tentang isu-isu semasa kepada penjaja kecil di Ipoh, Perak.

Pengguna yang sudah merasai beban kenakan harga minyak sebelum ini diminta Hassan agar melihat secara positif apa yang dibuat kerajaan kerana ia untuk kepentingan kesemua pihak.

"Sesuatu perkara kadang-kadang perlu dibuat. Bagi saya, kepentingan negara harus diutamakan," katanya.

Sebelum ini, Hasan berkata, pengeluar gula dan tepung telah memberi jaminan harga kedua-duanya tidak akan dinaikan.

“Pengguna juga tidak perlu bimbang kerana mereka diberi jaminan bekalan bahan adalah cukup untuk keperluan mereka," kata Hassan sebagaimana yang disiarkan Utusan Malaysia 13 September lalu. – 6 Oktober, 2013.