(membetulkan perkataan ''Olimpik'' kepada ''Paralimpik'' pada take 1 para 2)
LONDON, 31 Ogos (Bernama) -- Pemanah elit paralimpik Malaysia, Hasihin
Sanawi mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke peringkat suku akhir acara
recurve individu W1/W2 (berkerusi roda) Sukan Paralimpik London 2012, esok.
Pada pusingan kedua peringkat kalah-mati di Lapang Sasar Memanah di Royal
Artillery Barracks pada Jumaat, Hasihin, 29, menumpaskan pemenang pingat emas
Paralimpik Beijing 2008, Cheng Changjie dari China.
Setelah terikat dengan kedudukan 5-5 selepas lima set, Hasihin terpaksa
melalui pusingan penentuan dengan satu anak panah.
Kedua-dua mereka sekali lagi terikat dengan lapan mata, bagaimanapun nasib
menyebelahi Hasihin selepas anak panahnya berada lebih hampir dengan garisan
sembilan mata.
"Saya memang sangat bersyukur dapat melangkah ke peringkat suku akhir.
Semasa pertandingan tadi, saya memang tidak fikir apa-apa...saya hanya mahu
melakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama.
-- LAGI
PARALIMPIK-MEMANAH 2 (AKHIR) LONDON
Pada peringkat suku akhir, Hasihin akan bertemu pemanah Korea Selatan, Jung
Young Joo yang mengenepikan cabaran Jose Marin Rodriguez dari Sepanyol 6-2.
Ditanya mengenai peluangnya di peringkat suku akhir, Hasihin berkata beliau
tidak mahu memikirkan sangat tentang perkara tersebut pada masa ini.
Sementara itu, dua lagi pemanah negara, Zulkifli Mat Zain dan Mohd Zafi
Rahman Mat Salleh gagal melepasi peringkat seterusnya selepas kalah kepada lawan
masing-masing.
Zulkifli tumpas kepada pemanah Turki, Mustafa Demir 4-6 manakala Mohd Zafi
Rahman bukan tandingan kepada pemanah tuan rumah, Paul Browne apabila kalah 0-6.
-- BERNAMA
FA FA ERE

