
2 Ogos – Penyanyi Hazama atau nama sebenarnya Hazama bin Ahmad Azmi, kini dalam proses menyiapkan album yang dijangka akan diriliskan pada penghujung tahun ini.
Juara Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9), berkata, kini dia baru sahaja menyiapkan single 'Majnun' dan akan menyusul sebuah lagi single baru.
"Buat masa ini, kita dah selesai satu single iaitu Majnun, mungkin menyusul selepas Majnun, kita ada satu lagi single yang lebih rancak sedikit.
"Sekarang ini saya sudah ada lagu 'Cinta Teragung', 'Simetri', dan 'Majnun', dan selepas lagu keempat keluar, baru saya akan riliskan album penuh saya," ujar Hazama ketika dia ditemui pada Iftar Astro di The Royale Bintang, Mutiara Damansara, semalam.
Dalam perkembangan lain, Hazama bakal muncul dalam filem pertamanya "Cinta Atas Tar" yang akan bergandingan bersama Intan Ladyana, Taiyuddin Bakar, Shenthy Feliziana dan Azad Jazmin yang diarahkan oleh Ahmad Idham yang dijangka bakal menemui penonton pada hujung tahun ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan raya Hazama pada tahun ini bagi menyambut hari lebaran, Hazama menjelaskan persiapan rayanya adalah secara bersederhana sahaja.
"Saya seorang yang 'simple' saja, sama seperti tahun-tahun sebelumnya, persiapan raya saya buat secara bersederhana sahaja."katanya.
