Advertisement

Helikopter PUTD terhempas, empat anggota tentera selamat

Sebuah helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) jenis Agusta A-109 LUH terhempas di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat, Johor di antara jam 9 hingga 10 malam tadi, menurut sumber ketenteraan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, empat anggota tentera termasuk juruterbang dalam helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan itu selamat dan dihantar ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan.

"Helikopter itu sedang melaksanakan latihan penerbangan malam sebelum ia terhempas di hutan berhampiran Empangan Bekok di Segamat," katanya.

Katanya, pasukan penyelamat daripada PUTD yang digerakkan ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar semua mangsa yang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, seorang daripada empat anggota tentera terbabit ialah seorang pegawai tentera asing berpangkat Lt Kolonel yang bertindak sebagai jurulatih penerbangan.

Difahamkan pegawai tentera asing itu berasal dari Perancis, manakala tiga yang lain ialah pegawai berpangkat Mejar, Kapten dan Sarjan.

Menurut sumber itu, impak daripada kemalangan itu menyebabkan ekor serta kipas helikopter itu putus dua serta tayarnya rosak teruk.

"Helikopter itu disifatkan sebagai 'total loss'," katanya.

Menurutnya, latihan penerbangan malam agak berisiko kerana juruterbang terpaksa bergantung kepada "Night Vision Goggle" serta instrumen penerbangan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada tentera pada pagi ini mengenai kejadian itu.

Katanya, beliau dimaklumkan yang helikopter itu tidak terhempas tetapi membuat pendaratan cemas berikutan masalah penerbangan.

Beliau berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan dialami mangsa yang terlibat. - Bernama, 31 Januari, 2014.