Advertisement

Himpunan ambang 2014 hanya permulaan, kata Pengerusi Turun

Himpunan ambang 2014 hanya permulaan, kata Pengerusi Turun

Himpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) yang berlangsung di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang Tahun Baru 2014 hanyalah satu permulaan dan mungkin akan ada himpunan lebih besar selepas ini, kata Pengerusi Turun Azan Safar (gambar).

Anak muda berusia 24 tahun yang berasal dari Besut, Terengganu itu berkata, lanjutan daripada demonstrasi membantah kenaikan kos sara hidup yang disertai kira-kira 10,000 peserta daripada anak muda, pertubuhan berkenaan akan menyambung kempen berkenaan dengan sesi wacana dan dialog.

"Kita akan menggerakkan siri wacana intelektual dan beberapa siri penerangan ke seluruh negara.

"Turun tidak mahu hanya dilihat berlegar-legar setakat di kawasan bandar, kami mahu masyarakat luar bandar turut serta dengan perjuangan kami," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bekas penuntut jurusan Pengajian Al-Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut aktif bersama Gagasan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) itu menegaskan, perjuangan mereka tidak akan pernah selesai selagi mana rakyat masih ditekan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Himpunan malam tadi adalah klimaks dan selagi ada bebanan kepada rakyat, kami akan perjuangkan," kata anak bongsu daripada lima beradik itu lagi.

"Mungkin akan ada himpunan yang lebih besar daripada malam tadi," katanya.

Azan juga berkata himpunan yang turut memaksa konsert Tahun Baru 2014 di Dataran Merdeka diberhentikan sebelum jam 12 malam disebabkan peserta demonstrasi memasuki lokasi konsert berkenaan turut menerima sokongan pertubuhan politik seperti Pemuda DAP, PKR dan PAS dalam perjuangan mereka.

"Kami menerima sokongan daripada parti politik seperti DAP dan Pemuda PAS, namun penelitian lanjut sedang dibuat dalam kerjasama yang akan dilaksanakan bersama.

"Boleh jadi dan belum tentu akan ada kerjasama dengan mereka," katanya.

Selain itu, Turun juga jelasnya akan menganjurkan bengkel bersama pertubuhan badan bukan kerajaan dan kumpulan aktivis mahasiswa dalam masa terdekat berhubung isu miskin bandar bagi mengekalkan momentum himpunan demonstrasi mereka itu.

"Isu seperti ketidakadilan pengagihan kekayaan negara juga akan kami bangkitkan," katanya.

Peserta demonstrasi Turun dengan pakaian berwarna hitam dan tertulis perkataan "Turun" malam tadi bermula sejurus selepas waktu Isyak dan berlanjutan sehingga jam 1 pagi.

"Meskipun kami aktivis mahasiswa, Turun juga mengambil berat isu yang melibatkan rakyat," katanya lagi.

Selain anak muda, turut hadir memberikan sokongan adalah kumpulan ahli politik dan juga aktivis.

Antara pemimpin politik yang dilihat hadir memberikan sokongan kepada Turun adalah Pengarah Strategik PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan ramai lagi.

Mereka bergerak dari beberapa lokasi di ibu negara menuju ke Dataran Merdeka sebelum merempuh masuk ke kawasan padang tepat jam 11 malam apabila berjaya melepasi tiga halangan polis termasuk satu halangan kereta peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Cubaan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib untuk meredakan suasana juga gagal selepas peserta demonstrasi membalas ucapan beliau dengan sahutan "Boo..." dan juga "Penipu" berulang kali. – 2 Januari, 2014.