Husam berlaga pimpinan baharu, bibit kejatuhan PAS Kelantan?

Mahkamah Rayuan perintah blogger bayar RM50,000 kerana fitnah Husam

Peristiwa pertembungan bekas Exco kerajaan negeri Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dengan pimpinan baru kerajaan negeri Kelantan merimaskan banyak pihak di Kelantan.

Apa yang berlaku dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu merisaukan mereka jika ia menjadi bibit kejatuhan kerajaan yang dibina oleh PAS pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 23 tahun lalu itu.

Husam membangkitkan banyak perkara penting dalam sidang itu yang kebanyakannya dengan cara menyerang pimpinan kerajaan negeri yang baru. Ini termasuk isu pembalakan di Machang, kenaikan tarif air dan perlantikan Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Kelantan.

Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini, pelbagai persoalan muncul. Antaranya ialah:

1) Mengapa beliau bangun untuk melawan kerajaan daripada partinya sendiri?

2) Mengapa tidak beliau atasi kelemahan kerajaan negeri semasa beliau berkuasa dahulu?

3) Mengapa hanya sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk membangunkan negeri?

4) Adakah beliau sedang mensabotaj kerajaan negeri selepas tidak lagi dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baru?"

Empat persoalan ini dibangkitkan oleh Profesor Datuk Dr Muhamad Agus Yusof, penganalisis politik daripada Univerisiti Kebangsaan Malaysia melalui Facebooknya.

Namun, memandangkan pilihan raya masih jauh, ia masih belum terlambat untuk diselesaikan.

"Kemelut yang berlaku ini tidak akan meranapkan kedudukan PAS di Kelantan kerana tempoh untuk menghadapi PRU akan datang masih terlalu jauh. Jadi masih ada banyak masa untuk pemulihan dan pengukuhan semula PAS di negeri itu, apatah lagi dengan kedudukan Umno itu sendiri yang bermasalah di sana," kata pengkaji politik Kelantan, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Kamarul Zaman yang membuat tesis PhD mengenai 'PAS dalam era Kepimpinan Ulama' mengulas mengenai apa yang berlaku di Kelantan itu.

Bagi beliau, PAS Kelantan berada dalam kejutan kerana tidak menyediakan pelan peralihan kuasa yang mantap ekoran Nik Aziz tidak menjadi Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya umum lalu.

“Sebelum ini pandangan ahli PAS ialah Nik Aziz akan kekal menjadi MB sehingga mati, dan ini yang dinyatakan oleh Nik Aziz sendiri.

"Jadi bila berlaku peralihan kuasa, dengan ada komponen penting yang tertinggal, dan proses peralihan kuasa itu dibuat di dalam cara yang boleh dipersoalkan ahli PAS, maka sedikit sebanyak akan berlaku kekeliruan," katanya.

Husam, katanya, mempunyai pengaruh tersendiri di Kelantan khasnya di kalangan golongan muda dan guru pondok.

"Apabila situasi begini berlaku, ada pihak yang menyalahkan Nik Aziz sendiri kerana tidak menamakan dengan jelas susunan pengganti beliau," kata Kamarul Zaman kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, dengan latar belakang begini, perkembangan yang berlaku dalam PAS Kelantan membabitkan Husam sejak kebelakangan ini tidak mengejutkan.

Katanya, ia adalah lumrah sebagai suatu reaksi kepada kejutan yang berlaku itu.

"Cuma persoalan sama ada ia akan memberi natijah positif atau negatif kepada PAS bergantung kepada cara PAS menguruskannya," katanya.

Beliau berkata, jika pimpinan baru PAS Kelantan mengendalikannya dengan cara yang matang seperti tindakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub memberi jawapan yang jelas, rasional dan direct to the point kepada soalan yang diajukan Husam kepada beliau maka ia akan memberi natijah positif kepada PAS.

Beliau merujuk kepada jawapan Ahmad dalam sidang DUN Kelantan minggu lalu.

Pada sidang itu, Ahmad membenarkan apa yang dibangkitkan oleh Husam mengenai adanya permohonan untuk mendapatkan kawasan balak di situ tetapi ia belum diluluskan lagi.

Husam ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2014 Kelantan membidas tindakan kerajaan negeri terhadap kelulusan tanah seluas 1,400 hektar di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang.

"Bagaimanapun, jika pimpinan baru PAS Kelantan mengurusnya dalam cara yang kurang matang seperti tindakan Timbalan Menteri Besar mengelak daripada menjawab soalan yang diajukan Husam kepadanya, tindakan Exco Hanifa Ahmad tidak membenarkan Husam mencelah ucapannya, Exco Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyerang Husam secara peribadi dan Speaker DUN, Abdullah Yaakub, mematikan mikrofon Husam bagi mengelakkan beliau terus mencelah ucapan Mohd Nassuruddin, maka ia akan memberi natijah negatif kepada PAS kerana ia boleh mengundang perpecahan dalaman parti," kata Kamarul Zaman.

Kesimpulannya, Kamarul Zaman berkata, PAS Pusat seharusnya belajar daripada sejarah dan perlu bertindak proaktif bagi menyelesaikan isu ini.

Pada 1975, krisis awal antara Datuk Mohamad Nasir dan Adun-adun PAS berjaya dielakkan apabila Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menubuhkan satu jawatankuasa pendamai yang diketuai oleh Ali Taib.

Krisis kedua pada 1977 pula gagal diselesaikan apabila ia terlalu lewat dirujuk kepada JK PAS Pusat sehingga membawa kepada kekalahan teruk PAS dalam DUN Kelantan 1978.

Kamarul Zaman berkata, jika campur tangan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak berlaku sebagaimana diharapkan, maka jalan keluar yang dilihat oleh banyak pihak sebagai penamat kepada kemelut ini ialah sama ada Husam melonjakkan diri ke kedudukan lebih tinggi atau dimatikan terus dalam pemilihan PAS November ini.

Bagaimanapun, Agus mahu melihat tindakan Husam ini dengan positif apabila berkata, "Melihat lebih jauh, hati saya berkata: Jikalah politik cara ini juga diamalkan di Parlimen, alangkah majunya politik kita dan alangkah baiknya untuk rakyat dan negara kita. Semoganya!" – 17 Oktober, 2013.