KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Seorang ibu dan anak perempuannya
berusia 17 tahun antara pesalah trafik yang ditahan dalam operasi mencegah Mat
Rempit oleh Unit Khas Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar Padang
Midin dekat sini hari ini.
Wanita berusia 36 tahun itu mendakwa kedua-dua mereka dalam perjalanan ke
rumah keluarga angkat di sekitar kawasan itu ditahan atas kesalahan tiada
memiliki lesen memandu.
Dalam operasi kali ketiga dari semalam bermula pukul 3 petang hingga pukul 5
pagi tadi, sebanyak 301 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan
membabitkan pemeriksaan ke atas 20 buah kereta dan 417 motosikal.
Ketua operasi khas tersebut, ASP Khuzir Abd Majit berkata 13 buah motosikal
disita atas pelbagai kesalahan manakala 123 buah lagi diberikan notis arahan
pemeriksaan semula.
Antara kesalahan dilakukan ialah menunggang tanpa lesen, cukai jalan tamat
tempoh, mengubah suai ekzos dan enjin serta nombor plat kenderaan tidak mengikut
spesifikasi.
-- LAGI
POLIS-OPS 2 (AKHIR) KUALA TERENGGANU
"Dalam operasi 14 jam ini kami menahan dua penunggang motosikal di bawah
Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana melakukan aksi berbahaya manakala empat
penunggang ditahan terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
"Sebanyak 43 buah motorsikal ditinggalkan pemilik yang melarikan diri ketika
operasi dijalankan. Kesemua pemilik akan disaman ketika menuntut kenderaan
mereka nanti," katanya Khuzir ketika ditemui selepas tamat operasi di sini hari
ini.
Operasi disertai seramai 99 pegawai dan anggota polis dan enam kakitangan
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Terengganu.
Menurut Khuzir, operasi mencegah itu akan diadakan lagi agar kegiatan salah
dan tidak berfaedah itu tidak berleluasa.
Semasa operasi berjalan pelbagai tindakan berani dan nekad kumpulan Mat
Rempit dapat dilihat termasuk cuba memboloskan diri daripada sekatan secara
bertindak menunggang melawan arus selain memasuki jalan-jalan kecil.
Ada juga yang melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mereka di
kedai-kedai makan.
Beliau menasihati ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak
mereka daripada ditahan polis kerana terlibat dalam aktiviti jalanan yang tidak
sihat itu.
-- BERNAMA
NFI AEO HBS1

