Ibu jurutera minyak mahu dalang MH17 dihukum mati

Mum who lost son wants death penalty for MH17 culprits

Sebagai umat Islam, Asiah Rajikun, 56, menerima kenyataan anaknya Hasni Hardi Paran sudah tiada, bagaimanapun beliau mahu mereka yang bersalah menyebabkan 298 nyawa melayang dalam MH17 dihukum gantung kerana "jenayah" mereka.

Asiah berkata, mereka mahu dalang tragedi tersebut dibawa ke muka pengadilan.

"Ia adalah kehendak Tuhan dan ditakdirkan mereka mati cara ini. Tapi saya mahu dalang tragedi ini bayar atas apa mereka buat kepada anak saya dan penumpang lain.

"Dalang ini sepatutnya ditembak mati kerana jenayah yang mereka buat," kata Asiah kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi menerusi telefon.

Hasni Hardi, 32, seorang jurutera gas dan minyak menaiki pesawat malang Malaysian Airlines yang ditembak jatuh di Selatan Ukraine pada Khamis lepas.

Mangsa bekerja di United Kingdom tetapi menaiki pesawat yang bersambung di Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur.

Beliau berhasrat menghabiskan masa bersama keluarganya sempena sambutan Aidilfitri.

Bagaimanapun, Asiah berkata hukuman perlu dijalankan mengikut undang-undang rasmi walaupun sebenarya mahu melihat dalang itu ditembak mati.

"Saya faham tentang hukuman yang saya mahu mereka terima tidak akan berlaku. Tapi itu apa yang saya rasa. Saya akan terima apa saja hukuman diberikan kepada dalang sebaik mereka dikenal pasti dan ditangkap," kata Asiah.

Bercakap dari rumahnya di Segamat, Johor, Asiah berkata keluarganya akan menunggu berita daripada pihak berkuasa di rumah.

Mereka tidak berhasrat untuk bersama dengan ahli keluarga mangsa MH17 lain yang menanti di hotel Putrajaya.

"Kami sudah buat sedikit tahlil kepada Hasni, jadi baik berada di sini. Kami juga diberitahu contoh DNA juga boleh diambil dari sini," katanya.

Dengan sambutan Aidilfitri semakin dekat, Asiah berkata keluarganya tidak akan menyambutnya tahun ini.

"Saya tidak akan masak lauk kegemarannya ayam masak merah. Saya beritahu adik-beradiknya kerana ia akan buat saya menangis di dapur," katanya.

Beliau juga merindui panggilan telefon harian anaknya setiap hari.

"Walaupun jauh, berada atas pelantar minyak, atau di tengah-tengah laut atau luar negara, beliau tidak pernah lupa hubungi saya setiap hari. Kadang-kadang sampai 30 minit setiap panggilan,” katanya.

Beliau menyifatkan Hasni Hardi, anak kedua daripada lima anaknya sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa berada di samping keluarga setiap kali pulang dari luar negara.

"Seorang anak yang baik dan rapat dengan ibu bapanya," katanya.

Mereka juga sepatutnya menyambut sambutan ulang tahun Asiah sebaik pulang nanti.

Asiah berusia 56 pada 18 Julai, tapi pada hari tersebut juga beliau mendapat tahu pesawat anaknya ditembak jatuh.

"Saya terima pemergiannya. Saya mahu mayatnya dibawa balik ke rumah," katanya.

Asiah berkata, mereka hanya boleh menanti berita daripada pihak berkuasa pada ketika ini.

"Apa yang boleh kami buat lagi? Saya boleh menangis keluar darah, tapi itu tidak akan mengembalikannya," katanya. – 21 Julai, 2014.