Advertisement

Idea parti tunggal BN tidak akan menjadi kerana hanya disokong Gerakan

Idea parti tunggal BN tidak akan menjadi kerana hanya disokong Gerakan

Oleh Boo Su-Lyn

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Beberapa ahli politik Barisan Nasional (BN) bersikap dingin dengan cadangan agar gabungan pemerintah itu bertukar menjadi parti tunggal, terbuka kepada semua kaum dengan hanya parti Gerakan menyokongnya.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat menolak idea itu apabila dilaporkan mengatakan minggu ini masih belum sesuai bagi parti berasaskan kaum BN untuk bergabung menjadi satu parti berbilang kaum, membangkitkan rakyat Malaysia buat masa ini “masih belum mampu mengenepikan kaum untuk bersama dalam satu parti.”

“Rakyat sekarang masih berfikir mengikut jalur kaum,” kata Menteri Pembangunan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.

Setiausaha Umno Sabah itu berkata syak wasangka terhadap kaum lain turut timbul semasa parti berbilang kaum Berjaya memerintah Sabah dari 1976 sehingga 1985 di bawah Tan Sri Harris Salleh.

“Pemimpin masih lagi berfikir tentang kaum sendiri.. jadi, pada waktu mereka rasa terpinggir, dengan cara betul atau salah, persepsi akan merubah parti itu sendiri menjadi tidak stabil. Apabila syak wasangka semakin kuat, parti itu akan menjadi lemah,” kata Abdul Rahman.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan juga dilaporkan berkata Sabtu lepas parti tunggal BN adalah sukar ditubuhkan kerana kumpulan minoriti mungkin akan terpinggir.

"Kita tahu dari Sabah dan Sarawak, BN mempunyai parti kompnen yang mewakili pelbagai etnik yang tidak ramai di sana yang jika BN disatukan, suara mereka akan terhakis serta tidak mampu didengari lagi," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.

Abdul Rahman, walau bagaimanapun, mengatakan BN sebaliknya boleh membuka keahlian terus.

"Jika terdapat sambutan baik dari orang ramai dalam keahlian terus, kemudian boleh pergi ke peringkat kedua - menjadikan BN sebuah parti tunggal," katanya.

Naib Presiden MCA Datuk Donald Lim mengatakan ia mungkin akan mengambil masa lima dan sepuluh tahun lagi untuk 13 parti komponen BN untuk bersatu menjadi parti tunggal, mengatakan majoriti Melayu di Malaysia "masih belum sampai ke tahap di mana semua orang sama rata."

"Pakatan berbilang kaum, tetapi Melayu masih mendominasi," kata Lim kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada Pakatan Rakyat (PR).

Lim berkata parti berasaskan kaum Cina dan India BN boleh bergabung ke dalam dua parti berasingan masing-masing, serta pihak-pihak di Sabah dan Sarawak, supaya parti pemerintah hanya perlu lima parti yang mewakili kaum Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menyatakan Umno mungkin tidak bersetuju dengan BN membentuk sebuah parti tunggal berbilang kaum, menunjukkan parti tunjang BN telah meningkatkan jumlah kerusi persekutuan daripada 79 dalam Pilihan Raya 2008 ke 88 dalam Pilihan Raya 2013.

"Umno akan kata, tidak ada apa masalah, kami meningkatkan keahlian di parlimen. Kami tiada masalah. Kamu yang mempunyai masalah MCA," kata Lim.

MCA mencatatkan kerugian paling teruk dalam sejarah dengan mendapat hanya tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 5 Mei.

Tetapi pemangku presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn, orang pertama yang membangkitkan cadangan BN bergabung menjadi sebuah parti tunggal berbilang kaum, menegaskan hari ini BN perlu mengubah struktur berasaskan kaum lama untuk menghentikan kemerosotan sokongan daripada pengundi muda.

"Jika anda masih berpegang kepada pendekatan yang sama dan ideologi tanpa mengubah struktur dan juga strategi, saya takut cengkaman Umno pada kuasa akan terhakis dari tahun ke tahun," kata Chang kepada The Malaysian Insider.

"Oleh kerana masyarakat menjadi semakin maju dengan lebih ramai orang Melayu datang ke kawasan bandar, Umno hanya perlu mengubah dirinya untuk memenuhi aspirasi generasi muda," katanya.

Penganalisis menyatakan BN mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13 dengan bantuan sokongan luar bandar dan pengundi kelas pertengahan dan bandar menyokong PR merentasi kaum.

Chang menegaskan parti tunggal BN masih akan dapat melindungi kepentingan Bumiputera kerana Bumiputera adalah "sebahagian daripada rakyat Malaysia".

Kumpulan hak Melayu Perkasa, bagaimanapun, berkata minggu lepas orang-orang yang cuba untuk memadamkan Umno adalah "pengkhianat" dan menegaskan akan "berjuang hingga akhir" menentang BN sebagai sebuah parti tunggal.