KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Yayasan Usahawan Baharu (myNEF), satu
organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh peserta industri ICT
dan kreatif menyasarkan untuk membangunkan dan membantu sekurang-kurangnya 3,000
usahawan teknologi Bumiputera sepanjang tiga tahun akan datang.
Diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk membantu usahawan teknologi
bumiputera, myNEF ditubuhkan untuk membantu dan melatih usahawan untuk
membangunkan perniagaan dan meningkatkan perolehan mereka.
Pengerusinya, Ashran Ghazi berkata untuk mencapai sasaran ini, myNEF, di
bawah inisiatif PuSH (Pemangkin Usahawan), telah menyediakan tiga program utama
-- Jaringan Pengedaran Kebangsaan myNEF, Jaringan Kandungan Kreatif dan Program
Perkongsian Global.
"Objektif utama kami adalah untuk membantu perniagaan usahawan teknologi
Bumiputera mengekalkan perniagaan mereka.
"Untuk menjayakan usaha ini, kami menggunakan program yang telah disediakan
oleh kerajaan untuk membantu mereka. Peranan kami hanyalah untuk menghubungkan
mereka kepada platform yang sesuai," kata Ashran kepada satu sidang media di
sini hari ini.
Ashran berkata satu kajian oleh myNEF pada 2010 mendapati 45 peratus
daripada 485 syarikat yang berdaftar dengannya mendapat perolehan kurang
RM200,000 setiap tahun, dengan hanya 29 peratus mempunyai akses kepada pasaran
antarabangsa dan kebanyakan daripada syarikat adalah dalam segmen perkhidmatan
IT dan pasaran kreatif.
Dalam menangani keperluan syarikat perisian mendapat jualan dan capaian
tempatan yang lebih baik, myNEF mencipta jaringan edaran kebangsaan untuk
membantu pengedaran produk ahli-ahlinya.
Setakat ini, lebih 40 syarikat dengan 120 produk telah mendaftar dengan
myNEF.
Menjelang akhir tahun, myNEF menyasarkan untuk meningkatkan perolehan
syarikat perisian sehingga 40 peratus sementara syarikat perkhidmatan IT
dijangka menambah perolehan mereka sebanyak 20 peratus, katanya.
Turut diberi perhatian ialah program Pemasaran Kandungan Kreatif, direka
khas untuk syarikat-syarikat kandungan kreatif dengan produk yang hebat tetapi
gagal memaksimumkan potensi mereka di pasaran global.
Untuk itu, myNEF mengambil peranan sebagai pembangun dan pengedar bagi pihak
syarikat-syarikat ini, dan ia kini sedang memuktamadkan satu urus niaga dengan
sebuah syarikat penyiar antarabangsa sebagai pemangkin lebih banyak peluang
untuk syarikat-syarikat kandungan kreatif.
Sementara itu, program Perkongsian Global akan membantu memasarkan produk
ICT ke pasaran serantau dengan tumpuan kepada Indonesia, Vietnam, Thailand,
Myanmar, Kemboja dan Filipina.
"Kami menyasarkan untuk membangunkan 30 syarikat menjelang hujung tahun
dengan 18 perjanjian perkongsian," katanya.
Ashran berkata myNEF akan menganjurkan satu siri jerayawara ''Karnival ICT
dan Kreatif (KiCK)'' untuk memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat ICT
tentang program-programnya.
Karnival KIcK pertama akan diadakan di Fame Hotel di Seremban pada 17 Feb
ini.
-- BERNAMA
SOR WGM NHZ


