Oleh Mohd Farhan Darwis
CHERAS, 9 Feb — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor masih menunggu jawapan kerajaan Pusat berhubung pengumuman Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh 14 hari pada 30 Januari lalu.
Abdul Khalid (gambar) berkata, kerajaan negeri Selangor pimpinannya juga akan membuat pengumuman berkenaan segala tindakan yang dilakukan kerajaan Pusat berhubung isu air di Selangor, yang mana Syabas merupakan antara pemegang konsesinya.
“Kita masih tunggu jawapan kerajaan Pusat, saya dah beri 14 hari ... minggu depan saya akan buat pengumuman tentang apa yang dilakukan kerajaan Pusat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di sini.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sebelum ini mendakwa Syabas gagal menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi, dan berikutan kegagalan itu Selangor mahu mengambil alih pengurusan syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.
Cadangan kerajaan Selangor itu bagaimanapun ditolak kerajaan Pusat pada 2 Februari lalu, apabila Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak permohonan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan syarikat konsesi air tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, perkara itu tidak dapat dilaksanakan memandangkan kedua-dua pihak gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimetrai.
Jelas Muhyiddin, pengambilalihan itu tidak boleh dilakukan kerana kerajaan Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.
“Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas.
“Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad,” kata Muhyiddin lagi.
Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan menetapkan keutamaan untuk diselesaikan serta melaporkan keputusan-keputusan jawatankuasa kepada Jemaah Menteri.
Isu air di Selangor mula mendapat perhatian meluas apabila kerajaan Selangor dan Syabas saling menyalahkan sesama sendiri berikutan keengganan kerajaan PR negeri tersebut meluluskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sebaik sahaja mereka menguasai Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008.
Syabas juga sebelum ini telah menjawab segala dakwaan yang dilemparkan pemimpin kerajaan negeri terkaya itu di dalam akhbar-akhbar media arus perdana.



