SHAH ALAM, 9 Ogos (Bernama) -- Sebuah jawatankuasa khas yang diketuai
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Muhammad Khusrin Munawi telah
diwujudkan untuk memuktamadkan pengambilalihan empat syarikat konsesi air di
negeri ini selewat-lewatnya bulan depan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air
Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran
Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) and Konsortium ABASS.
Pengambilalihan itu akan dibuat berdasarkan harga pasaran munasabah, kata
Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
"Sekiranya pemegang konsesi tidak menerima nilai yang ditawarkan, mereka
boleh merujuk kepada badan timbang tara bebas yang akan memutuskan nilai yang
sepatutnya.
"Kerajaan Negeri akan mematuhi keputusan yang dibuat oleh badan timbang tara
tersebut," katanya.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan kepada
Suruhanjaya Pengurusan Air Negara, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi memastikan proses pemajakan
aset air negeri dan pengambilalihan liabiliti industri air diselesaikan
serentak.
Pada masa sama, katanya, pemantauan ke atas Syabas akan diteruskan oleh
Jawatankuasa Pemantauan bekalan air seperti biasa.
-- BERNAMA
VSS RV RHM

