Jagged Alliance: Back in Action – Game kurang bertenaga, lemah

Jagged Alliance: Back In Action

Penerbit: Kalypso Media
Pengeluar: Coreplay GmbH
Genre: Strategi (pemain tunggal)

Spesifikasi Minimum: Windows XP (SP2), Vista atau Windows 7, Core 2 Duo Processor (1.8GHz) atau lebih bagus dan yang sama taraf bagi AMD, 2GB RAM, 3GB HDD space, kad sesuai Shader 3.0 (Ati 2600, GeForce 8800 atau serupa) dengan 512MB RAM, Direct X compatible sound card.

Hasil Ujian:
Rekaan semula permainan diminati ramai dengan grafik yang lebih bagus, namun tidak menepati sasaran apabila AI nampak bodoh dan rekabentuk permainan yang teruk. Hanya untuk peminat Jagged Alliance yang setia.

Satu rekaan semula Jagged Alliance 2 yang dikeluarkan pada 1990an. Back in Action menggunakan jalan cerita ringkas yang sama dan juga mekanik kombat "Turn Based" tapi memodenkan kesemuanya dengan grafik yang lagi lawa dan juga boleh dihentikan sementara. Dari segi plot, Back in Action masih lagi meletakkan anda sebagai ketua satu geng tentera boleh upah yang diberikan tugas untuk membebaskan kepulauan Arulco (pulau fiksyen) dari seorang diktator yang bengis yang tak mampu pergi ke kedai gunting rambut pun.

Seperti Jagged Alliance 2, anda bermula dengan duit yang sedikit bagi membiayai perang gerila anda. Anda juga terpaksa mengurus segala aspek kumpulan anda dari segi siapa, di mana dan kelengkapan tentera yang anda akan tembak atau letupkan. Memeningkan lagi apabila anda juga perlu menolong tentera revolusi dan juga memastikan bahawa stok bahan api mereka cukup.

Misi pertama yang anda perlu tempuhi agak senang iaitu mengambil alih satu-satunya lapangan terbang di Arulcodari yang dikepung satu pasukan pengawal bersenjatakan parang yang boleh dikatakan menjadi praktis untuk anda menembak saja. Selepas anda mengambil alih lapangan terbang itu, misi menjadi tidak terlalu ortodoks di mana anda boleh mengarahkan askar anda ke mana-mana tempat di Arulco, menyiapkan misi yang diberikan oleh NPC, menawan tempat-tempat strategik dan juga menguruskan askar secara berkolaborasi. Permainan yang lampau agak susah untuk mempelajari kesemua ini dan selalunya anda akan kalah dalam dua atau tiga cubaan apabila mula-mula bermain. Namum begitu bagi Back in Action, ia nampaknya telah disenangkan dan juga anda diberi tahap "tutorial" bagi mengajar cara bermain permainan ini dengan betul.

Jalan dengan taktik yang betul

Orang Gaji

Kembali dari Jagged Alliance 2 adalah majoriti dari askar upahan anda. Jika anda pernah bermain permainan JA2, anda pasti akan mengenali kebanyakan dari mereka. Sampaikan suara mereka pun masih dikekalkan di dalam versi ini. Antara karekter ini adalah pelanduk dua serupa Fidel Castro, pakar letupan Fidel Dahan dan "adik" Arnie, Bobby 'Steroid' Gonstarki yang bukan saja mempunyai rupa yang sama tapi sampaikan pelat pun sama. Setiap satu dari mereka mempunyai pengkhuhusan dan keupayaan yang berlainan. Ada yang boleh menembak dengan tepat manakala yang lain lebih sesuai menjadi doctor atau mengurus senjata supaya tidak rosak. Lebih bagus mereka dapat membuat kerja, lebih mahal untuk mengupah mereka. Beberapa orang pertama yang anda upah adalah agak biasa saja dari segi keupayaan namun kalau anda sentiasa menggunakan mereka, keupayaan mereka dapat ditambah dan dibaiki (level up). Perbezaan besar pada kali ini adalah anda tidak lagi membayar mereka gaji bulanan, tapi satu bayaran besar pada permulaan dan mereka akan kekal bersama anda hinggalah habis permainan atau mereka terbunuh.

Kos tidak tertakluk pada membayar gaji saja. anda juga terpaksa membayar bagi penambahan peralatan atau senjata mereka. Seperti di dunia sebenar, ini tidak murah dan anda perlu melabur duit yang anda dapat dari misi dengan membeli senjata yang lebih baik. Untuk tidak perlu membayar lesen kepada pengeluar senjata betul, senjata di dalam permainan ini diberikan nama baru yang pelik belaka. Tapi kalau anda seorang peminat senjata anda pasti dapat mengenali kesemuanya. Ini bukanlah seperti Modern Warfare yang dimana dengan senapang sniper saja anda dah boleh menang. Anda perlu senjata yang cukup untuk menghadapi musuh.

Sembunyi belakang dinding?

Medan Perang
Jika anda tidak sibuk berperang, yang menjadi kebiasaan di dalam permainan ini, anda akan mengamati skrin taktikal yang mempunyai peta Arulco di mana anda akan memberikan arahan bagi askar anda pergi, dan...ya, itu saja sebenarnya. Misi di dalam permainan terdiri dari anda mengambil sesuatu atau menyelamatkan orang atau meletupkan sesuatu. Tak kira apa misi anda, pasti anda akan terpaksa membunuh kesemua orang di kawasan itu. Apabila anda memasuki kawasan musuh, anda akan diberikan pemandangan isometrik dengan kamera berubah-ubah. Kebanyakannya ok, namun ada ketikanya kamera tiba-tiba terlindung dengan dinding. Ia agak menyusahkan kalau berlawan dalam bangunan, kecuali anda sudah hafal peta bangunan itu. Selain itu, ia memberikan anda melihat kesemua musuh di atas peta, yang dari satu segi menyenangkan lagi tugas anda.

Anda boleh memilih untuk melakukan aksi di dalam masa sebenar atau menggunakan mod "turn based". Selalunya anda akan menggunakan mod masa sebenar masa menjelajahi peta dan bertukar ke mod "turn based" apabila perperangan bermula. Di dalam mod "turn based" anda dapat memberikan arahan terperinci bagi askar anda, termasuk tembak pada satu masa, sedikit, atau tembak ala Rambo, sama ada berjalan, merangkak ataupun berlari. Secara teori anda boleh melakukan apa saja taktik, sehebat taktik perlawanan bolasepak seperti mengarahkan penembak tepat anda menembak musuh dan tatkala situasi panik itu grup lain akan mula memecah masuk. Namun realitinya anda akan berhadapan dengan AI yang tidak boleh diagak dan juga kedua-dua musuh dan askar anda akan melakukan benda yang tidak disangkakan. Jadi banyak kali juga anda perlu memain semula tahap/peta itu sebelum anda memahami  apa yang perlu dilakukan sebenarnya.

Taktik memang penting

Ini bukan GladoS

AI bagi musuh kadang-kadang nampak pintar namun ada kalanya bodoh melampau. Musuh boleh lepak di satu sudut walaupun ada orang sedang menembak di bilik sebelah. Ada masanya mereka masuk bagai askar Jepun melakukan banzai walaupun rakan meraka yang lain dah mati bersepah di tempat yang sama. Ada kalanya mereka boleh menembak begitu tepat dari jauh mengalahkan peserta Olimpik. Tapi dari satu segi sama juga dengan askar anda yang boleh juga terlekat di muka pintu atau di belakang askar lain, atau yang lagi teruk, boleh tidak bergerak masa musuh datang mahu menikam mereka. Tapi apabila kesemuanya mengikut rancangan, anda akan pasti tersenyum bagai Inspektor Misai di dalam Gerak Khas.

Jika anda terasa anda sudah tersilap, anda boleh menggunakan 'quicksave' dan 'quickload' bagi bermula kembali. Namun terlampau banyak berbuat begitu akan menjadikan permainan ini satu proses yang membosankan pula. Dengan masalah kamera dan AI, permainan ini diburukkan lagi dengan pelbagai aspek yang tidak dibuat dengan betul. Satu benda yang agak menyakitkan hati adalah dari segi taktikal askar anda sendiri. Setelah anda membebaskan satu sektor, anda dapat memberikan senjata api kepada militia tempatan untuk melindungi dari diambil balik oleh musuh. Tapi ini akan mengambil masa yang lama kerana anda terpaksa mengambil setiap satu senjata api yang dirampas dari musuh yang mati dan memberikan pada AI militia tersebut satu-persatu. Dan tak kisah la jika anda memberikan senjata paling terbaik di dalam permainan pun, militia ni bagai lalat je untuk musuh, menyebabkan anda terpaksa melindungi mereka dengan askar anda sendiri. Satu lagi yang kami tak suka adalah suasana tidak interaktif di mana pokok tidak hancur walaupun peluru bersimpang siur menembusinya. Bangunan pula dibuat oleh konkrit kebal dan hanya boleh dihancurkan di beberapa tempat menggunakan bahan letupan C4. Misi pula ada perlu mengikut urutan, jika tidak anda tidak akan dibayar, maka anda tak boleh terus bunuh sasaran anda jika anda tak ikut urutan yang betul.

Kalau anda boleh tahan sabar, anda akan dapat menghabiskan permainan ini di dalam masa lebih kurang 50 jam. Bagi pendapat kami, ia adalah agak bagus walaupun mempunyai AI yang bodoh dan mekanik permainan yang agak pelik ia hanya boleh dinikmati oleh mereka yang betul-betul minat tajuk ini sahaja. Ia juga menyenangkan aspek yang sebenarnya boleh membuatkan permainan ini lebih menarik. Akhir kata kalau anda suka permainan seperti ini anda boleh mencari tajuk alternatif yang lebih memberikan nilai bagi wang anda. Namun kalau anda memang peminat Jagged Alliance, ia adalah permainan sempurna bagi anda.

How do you feel about this article?

Comments on Yahoo! pages are subject to our link to Comments Guidelines. You are responsible for any content that you post. Yahoo! is not responsible or liable in any way for comments posted by its users. Yahoo! does not in any way endorse or support comments made by its users.