‘Jawatan Ketua Pembangkang bukan isu, keputusan PRU13 masih diragui’

Oleh Md Izwan

PETALING JAYA, 7 Mei — Persoalan tentang jawatan Ketua Pembangkang bukan isu ketika ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memandangkan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) masih lagi diragui.

Anwar berkata proses pilihan raya kali ini penuh dengan penipuan dan mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.

“Isu tersebut tidak timbul kerana keputusan pilihan raya kali ini masih lagi diragui dan persoalkan,” kata Anwar apabila ditanya tentang siapa yang akan dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat nanti.

Semalam, penasihat kebangsaan DAP Lim Kit Siang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dilantik mengisi jawatan tersebut sebaik Parlimen mula bersidang.

Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan 89 kerusi Parlimen berjaya diperoleh Pakatan Rakyat (PR), dimana DAP mendapat kerusi terbanyak dengan 39 kerusi, PKR pula 30 kerusi dan PAS sebanyak 21 kerusi.

“Sebelum ini, Pakatan Rakyat sudah menyatakan pendirian untuk melantik beliau sebagai perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum.

“Tapi perkara tersebut tidak berlaku, oleh sedemikian keputusan mencadangkan Anwar sebagai ketua pembangkang adalah sama seperti komitmen yang lalu,” kata Lim.

Namun, Anwar sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk bersara selepas pilihan raya kali ini tetapi Lim menegaskan ia bukan satu masalah selagi ketua umum PKR tersebut masih belum membuat keputusan rasmi.

“Mengenai Anwar akan bersara itu, kami akan bincangkan.

“Mungkin anda perlu tanya sendiri kepada Anwar,” tambah Lim lagi.

Anwar berkata akan mendapatkan sokongan orang ramai untuk memberi tekanan kepada kerajaan BN yang baru dipilih, serta menambah pilihan raya kali ini adalah “penipuan yang paling teruk dalam sejarah” bagi mengekalkan penguasaan kerajaan tersebut di pusat.

Pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 juga berkata mereka tidak akan mengiktiraf kerajaan BN sehingga selesai laporan penipuan undi.

BN memenangi pilihan raya umum ke-13 dengan majoriti yang lebih kecil, kehilangan tujuh kerusi parlimen kepada PR, selain gagal merampas Selangor dan Pulau Pinang, kedua-dua negeri yang paling kaya dan maju di Malaysia.

BN memenangi 133 kerusi Parlimen manakala PR pula memenangi 89 kerusi, ia juga menunjukkan penambahan ketara bilangan kerusi negeri daripada 197 pada 2008 kepada 230 selepas berakhir pilihan raya semalam.

BN tewas teruk di kebanyakkan kawasan bandar-bandar utama dari George Town, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan bandar-bandar besar di Johor, dimana ia bukti golongan kelas pertengahan dan bandar merupakan kumpulan yang prihatin dengan isu-isu seperti rasuah, kos saran hidup naik dan jenayah.