Jihad seks tak perlu fatwa, jelas dilarang Islam, kata Jamil Khir

Tabung Haji umum 6.25% bonus tahunan, 2% tambahan bonus haji

Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan tiada keperluan mengeluarkan fatwa khas mengenai jihad seks kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata hubungan seks bebas sememangnya dilarang dalam Islam, maka pengeluaran fatwa mengenainya adalah dilarang.

"Sebenarnya kita sedia maklum ia tidak memerlukan fatwa kerana seks (bebas) dan sebagainya salah. Tidak perlu fatwa, hubungan seks (bebas) ini mana boleh. Tidak payah sebut kata fatwa. Dah tidak boleh dah.

"Kalau tunggu fatwa, bagi yang tidak ada dalam hukum. Perkara yang sudah ada dalam hukum memang tidak dibenarkan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Konvokesyen Picoms kali ke-2 di PWTC.

Minggu lalu, The Malaysian Insider mendedahkan terdapat wanita Malaysia yang pergi ke luar negara bagi 'berkhidmat' kepada pejuang di negara Islam yang sedang bergolak.

Pegawai kanan risikan berkata wanita Malaysia dipercayai menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan Jihad Al-Nikah atau jihad seksual.

Jihad Al-Nikah merujuk kepada konsep kontroversi wanita Sunni yang dikatakan menawarkan diri mereka untuk memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.

Konsep itu berasal daripada fahaman Wahhabi sekitar 2013, yang menyeru penyokong wanita Sunni untuk tampil melakukan jihad seks dan menyemarakkan moral pejuang terhadap regim Bashar al Assad di Syria.

“Wanita ini dipercayai menawarkan diri mereka untuk melakukan hubungan intim dengan pejuang Isis yang cuba memperkenalkan peraturan Islam di Timur Tengah.

“Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam di sini bersimpati dengan kepayahan Isis,” kata seorang pegawai risikan kepada The Malaysian Insider. – 1 September, 2014.