Jihad seksual: NGO Islam minta Majlis Fatwa jelaskan jihad sebenar

Jihad seksual: NGO Islam minta Majlis Fatwa jelaskan jihad sebenar

Majlis Fatwa Kebangsaan digesa menjelaskan pengertian jihad sebenar berlandaskan Islam memandangkan semakin ramai umat Islam di negara ini terkeliru dengan konsep tersebut bahkan turut menyertai gerakan pelampau yang hanya menghalalkan keganasan, kata Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan sewajarnya memberi penekanan dengan menjadikan isu tersebut sebagai perbincangan utama agar dapat memudahkan masyarakat Islam di negara ini membuat rujukan mengenai konsep jihad.

"Hal ini yang sewajarnya dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya tidak kata mereka (ulama) tidak bincang namun mungkin mereka ada banyak kertas kerja perlu diselesaikan.

"Ia amat mustahak supaya orang kita yang ada keinginan untuk berjihad namun kerana ada panduan dan penjelasan jadi mereka tidak akan mudah terikut dengan gerakan ekstremis," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan The Malaysian Insider semalam yang mendedahkan ada golongan wanita Islam di negara ini dan beberapa negara lain menyertai pasukan kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) untuk menawarkan 'Jihad Al-Nikah' atau jihad seksual.

Memetik daripada sumber pegawai kanan risikan, pihak berkuasa mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga wanita Malaysia pergi ke Timur Tengah untuk menyertai pasukan Isis.

Fathul Bari berkata, beliau kesal dengan penglibatan wanita Islam di negara ini yang menyertai kumpulan pelampau itu dengan menggunakan alasan jihad seksual.

Beliau berkata, perbuatan itu jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran Islam, malah gerakan Isis itu tidak pernah mendapat pengiktirafan mana-mana ulama terkenal dunia terutama negara Timur Tengah.

Katanya, gerakan itu kemungkinan memanipulasikan konsep 'mutaah' yang diperkenalkan pada satu masa dulu ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan.

"Menurut sejarah, ketika zaman Rasullah sebelum ia diharamkan, tentera Islam yang terlibat dalam peperangan kemudiannya keluar musafir mereka akan bermutaah iaitu maksudnya mereka berkahwin dengan wanita tempatan sehingga selesai perang lalu mereka balik ke tempat asal dan menceraikan isteri sementaranya itu.

"Bagaimanapun ia kemudiannya dimansuh dan dibatalkan hukumnya, jadi mutaah ini sudah tidak wujud lagi. Yang mengamalkan mutaah hanya golongan Syiah," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Islam di negara ini perlu mempunyai pemahaman mendalam mengenai erti konsep jihad sebenar mengikut sudut pandang Islam.

"Contoh apabila kita terima pensyariatan solat maksudnya kita juga wajib terima cara dan kaedah untuk bersolat, dan bukan melakukannya sesuka hati.

"Begitu juga dengan jihad ia ada cara dan kaedah bukan kata angkat senjata dan jom kita pergi perang. Kita tidak boleh mengambil nas Al-Quran dan hadis kelebihan jihad tanpa mengkaji (bagaimana untuk laksanakannya) terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abd Manan berkata susulan pendedahan itu pertubuhannya menggesa pengertian jihad dimasukkan dalam sukatan agama di sekolah bagi membetulkan tanggapan yang salah.

Katanya, ia perlu dilakukan ulama dan mereka yang mempunyai latar belakang agama untuk membetulkan pandangan tersebut.

"Kita seru umat Islam untuk lebih mendalami ajaran agama dengan sebaiknya. Pendedahan itu merupakan perkara ekstrem dalam agama.

"Kita tidak pernah jumpa istilah jihad seksual sebelum ini dalam agama tambahan pula Islam itu sendiri sentiasa memartabatkan wanita dan menolak golongan itu dijadikan pemuas nafsu," katanya.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdul Rahman Mat Dali menggesa rakyat Malaysia di negara ini tidak terlibat dengan gerakan ekstremis terbabit.

"Wanita atau siapa saja rakyat Malaysia kita tidak galakkan mereka menyertai Isis atas nama jihad, ia merupakan satu gerakan ekstremis dikaitkan dengan doktrin Syiah.

"Banyak lagi cara umat Islam di negara ini boleh melibatkan diri dalam isu dunia seperti memberi sumbangan, tidak perlu pergi berjihad masuk kumpulan yang diragui dan menawarkan seksual itu juga sangat tidak masuk akal," katanya.

Katanya, dalam Islam hanya pernikahan saja yang dapat menghalalkan hubungan seksual.

"Saya tidak dengar jihad seksual ini wujud dalam Islam. Tidak ada perkara sedemikian sekiranya tidak bernikah namun kalau betul ada ikatan sah pun ia tidak berapa praktikal untuk diguna pakai," katanya.

Beliau berkata, wanita yang terpengaruh dengan jihad tersebut kemungkinan mempunyai pegangan lemah terhadap hadis dan Al-Quran sehingga menimbulkan kekeliruan.

"Saya fikir ia terjadi kerana pegangan hadis dan Al-Quran itu terlalu lemah, sekiranya pegangan mereka kuat sudah tentu dengan jelas mereka boleh nampak hadis pun tidak pernah menyebut atau menyokong perkara itu," katanya.

Jihad Al Nikah merujuk kepada konsep kontroversi iaitu wanita Islam dikatakan menawarkan diri mereka dalam bentuk peranan memenuhi keperluan seksual pejuang yang memperjuangkan undang-undang Islam.

"Konsep ini mungkin kelihatan kontroversi tetapi ia semakin berkembang apabila sesetengah wanita Islam disini bersimpati dengan kepayahan Isis," kata sumber pegawai kanan risikan itu.

Enggan didedahkan identitinya, pegawai risikan itu berkata seorang wanita Malaysia berlepas ke Timur Tengah pada Disember lalu.

"Wanita itu berusia 30-an pergi ke Turki sebelum bertemu dengan orang tengah yang membantunya melengkapkan perjalanan ke Syria melalui jalan darat.

"Seorang lagi wanita Malaysia berusia 40-an dipercayai berkerjasama dengan pasukan Isis pada April tahun ini," kata sumber. – 28 Ogos, 2014.